Enam remaja termasuk tiga pelajar sekolah ditahan lumba haram

 Enam remaja termasuk tiga pelajar sekolah ditahan lumba haram

BUTTERWORTH, 5 April — Enam remaja lelaki termasuk tiga pelajar tingkatan empat ditahan ketika sedang berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata enam remaja menunggang motosikal itu berumur 16 hingga 19 tahun dan mereka ditahan dalam operasi bermula pukul 5.30 petang dan tamat tiga jam kemudian.

“Polis yang terlibat dalam operasi itu menyamar dengan memakai pakaian biasa dan bertindak mengekori enam remaja yang menunggang motosikal secara berlumba, mereka juga melakukan aksi menundukkan badan seperti ‘superman’ dan zigzag.

“Tindakan mereka amat berbahaya bukan sahaja kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain tiga pelajar tingkatan empat itu, turut ditahan dua pembantu kedai dan seorang yang bekerja sendiri serta kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

11  −    =  8