Enam suspek tak sempat agih hasil curi

 Enam suspek tak sempat agih hasil curi

Oleh Amir Hamzah Nordin’

CAMERON HIGHLANDS, 10 Januari 2022 – Enam suspek berputih mata tidak sempat mengagihkan hasil ‘kekayaan’ kegiatan jahat mereka bernilai RM260,000 kerana diberkas oleh polis di sini, baru-baru ini.

Tertumpasnya kumpulan berenam orang itu, sekali gus pihak polis berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah cermin kereta dan aktiviti curi di kawasan peranginan tersebut oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, Khamis lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata, sejak 6 Januari hingga 7 januari lalu, IPD Cameron Highlands telah menerima 7 laporan berkaitan kegiatan pecah cermin kenderaan dan kehilangan barangan berharga di sekitar Cameron Highlands.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan wang dan barangan yang dirampas

“Hasil siasatan dan risikan membawa kepada tertangkapnya seramai 6 orang yang datang ke sini (Cameron Highlands) bukan sahaja untuk bercuti membawa keluarga mereka tetapi untuk tujuan melakukan aktiviti jenayah.

“Mereka datang dari utara dan telah melakukan 7 pecah kereta tersebut dan dipercayai bersangkutan dengan kes sebelum ini termasuk di Sungai Petani,” katanya.

Katanya, kejayaan IPD Cameron Highlands yang menerima maklumat berjaya menumpaskan aktiviti kumpulan itu dalam masa sehari.

“Kita berjaya menangkap 6 individu membabitkan 3 lelaki dan 3 wanita dalam satu serbuan di kawasan Brinchang, Cameron Highlands.

“Selain itu turut merampas dadah jenis Syabu sebanyak 34.74 gram, 4.2 gram daun mampat disyaki ganja, pelbagai jenis barang kemas, 3 keping gold bar, 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama, bag sandang berisi wang tunai RM3, 843 serta dua buah kenderaan digunakan suspek kes berkenaan,” katanya.

Ramli berkata semua mereka akan disiasat di bawah seksyen 379 kanun keseksaan kerana mencuri, seksyen 427 kerana melakukan khianat dan seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta seksyen 6 ADB 1952 bagi kesalahan memiliki dadah.

“Saringan air kencing kepada semua suspek mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

“Enam suspek itu kini ditahan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut manakala usaha mengesan dua lagi suspek yang sedang bebas giat dijalankan yang membabitkan individu dikenali sebagai sebagai Muhammad Zaidi Zainal dan seorang lagi dikenali dengan nama panggilan Faiz,” katanya

Amir Hamzah Nordin

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

31  −    =  21