Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran

 Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran

Kebakaran di Taman Hungap. Penampang pada awal pagi Selasa. Foto- JBPM

PENAMPANG, 7 Sept — Empat bsekeluarga rentung selepas rumah teres dua tingkat yang mereka diami terbakar dalam kejadian di Taman Hungap pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa iaitu pasangan suami isteri, Matthew Wong, 50, dan Jecky Vun Kon Fong, 47, serta dua anak mereka, Brandon Wong, 18, dan Eric Wong, 15, dipercayai terperangkap di dalam rumah berkenaan.

Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.52 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api masih marak di dalam rumah berkenaan dan operasi pemadaman segera dijalankan.

“Pasukan bomba memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 60 meter dua pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera,” katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata, api berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.10 pagi.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan bomba menemui empat mangsa rentung di dalam rumah itu iaitu suami isteri dan dua anak lelaki pasangan berkenaan.

“Tiga mangsa lelaki terperangkap di dalam bilik di tingkat atas manakala seorang lagi iaitu mangsa wanita ditemui di dalam bilik air,” katanya.

Hamsa berkata, semua mangsa sudah dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Setakat ini, katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Bahagian Forensik JBPM.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

79  −    =  71