Empat laporan polis terhadap Siti Bainun diklasifikasikan sebagai ‘NFA’

 Empat laporan polis terhadap Siti Bainun diklasifikasikan sebagai ‘NFA’

Siti Bainun (tengah) berbincang dengan barisan peguamnya sebelum prosiding di Mahkamah Khas Kanak-Kanak Kuala Lumpur, hari ini. Foto – Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Empat laporan polis terhadap pengasas rumah kebajikan kanak-kanak, Rumah Bonda, Siti Bainun Ahmad Razali telah diklasifikasikan sebagai ‘NFA’ atau tiada tindakan lanjut.

Dalam temubual eksklusif bersama Wacana.my, Siti Bainun berkata, terlalu banyak fitnah dilemparkan terhadapnya.

“Walau apa jua tanggapan orang di luar sana, saya percaya mahkamah lebih arif untuk menilai perkara ini dan saya akan tetap berjuang untuk mendapatkan kesemua anak-anak saya,” katanya.

Siti Bainun turut memberitahu dia amat merindui anak-anak jagaannya.

Sebelum itu, Mahkamah Khas Kanak-kanak di sini hari ini mendengar hujahan permohonan Siti Bainun untuk hak penjagaan penuh lima anak angkat jagaannya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun berkata, pihaknya telah menghujahkan tentang kelayakan salah seorang anak jagaan Siti Bainun pada hari ini.

“Pegawai pelindung dari JKM juga telah menyediakan laporan yang menyatakan Siti Bainun telah menjaga kanak-kanak tersebut dengan baik,” katanya.

Namun terdapat isu dari kedutaan Indonesia yang memerlukan kelayakan ibu angkat mesti berusia 30 tahun ke atas dan telah berkahwin sekurang-kurangnya lima tahun untuk menjaga kanak-kanak yang mempunyai status kewarganegaraan Indonesia walaupun lahir di Malaysia.

Hari ini mahkamah telah memutuskan salah satu kanak-kanak (anak jagaan) Siti Bainun di tempatkan di rumah kanak-kanak Tunku Budriah Cheras selama tiga tahun.

“Berkaitan dengan empat lagi kanak-kanak, pendengaran akan diteruskan pada 2 dan 16 November 2021,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi atas keputusan pada hari ini.

Turut hadir ke prosiding hari ini ialah warga Indonesia, Eni Sri Wahyuni yang merupakan ibu kandung kanak-kanak terlibat yang telah di berikan perintah tetap tersebut.

Menurut Eni, dia mahu Siti Bainun meneruskan penjagaan terhadap anaknya yang berusia tiga tahun dan mahu Siti Bainun meneruskan permohonan rayuan tersebut.

Siti Bainun meluangkan lebih enam jam di Mahkamah Kuala Lumpur bersama barisan peguamnya.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahmad Razali berbincang dengan peguamnya, Datuk Farhan Maaruf sebelum memasuki dewan bicara, Mahkamah Khas Kanak-Kanak Kuala Lumpur. Foto – Suraya Ali

Selain peguam Asiah Jalil, Farhan Maaruf, Yalini Munusamy dan Nur A’minahtul Mardiah yang mewakili Siti Bainun, peguam Muhammad Hafiz Hood dan Megat Syazlee Mokhtarom mewakili tiga daripada empat ibu kandung kanak-kanak tersebut.

Kes didengar di hadapan Majistret Nur Farahain Roslan.

Pada 20 Ogos lalu, Siti Bainun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun tahun ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *