Empat atlet pelayaran Olimpik jalani latihan intensif di Desaru & Tenerife

 Empat atlet pelayaran Olimpik jalani latihan intensif di Desaru & Tenerife

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KOTA TINGGI, 2 April – Seramai 17 atlet sedang menjalani latihan intensif di perairan Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (KRMSAU), Desaru di sini, dalam usaha memperbaiki rekod pasukan negara dalam kejohanan antarabangsa.

Nuraisyah Jamil

Sesi latihan itu turut menyaksikan tiga atlet yang telah mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo 2021 iaitu Nur Shazrin Mohamad Latif (Laser Radial) dan juga atlet gandingan Nuraisyah Jamil serta Juni Karimah Noor Jamali (International 470) berlatih di bawah bimbingan jurulatih, Mohd Hafizi Roslee dan Muhammad Sahir A Rahim.

Seorang lagi atlet ke Olimpik Tokyo, menerusi Laser Standard, Khairulnizam Mohd Afendy pula sedang menjalani latihan dan menyertai kejohanan di Pulau Tenerife, Sepanyol.

Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), YB Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata latihan itu dilakukan menerusi dua sesi iaitu pada 21 Mac sehingga 11 April 2021 dan sesi kedua pada 19 April sehingga 9 Mei 2021.

“Pasukan atlet pelayaran negara hanya tinggal empat bulan untuk membuat persiapan sebelum menyertai Olimpik Tokyo,” kata beliau dalam satu kenyataan MSA, semalam.

Fakta menarik ialah, pelayar negara layak menyertai kejohanan dunia itu mulai Olimpik Atlanta 1996 menerusi acara Laser Standard dan meneruskan cabaran negara pada setiap kejohanan itu tanpa gagal sehingga ke Olimpik Tokyo 2021.

Kamaruzzaman berkata, MSA tidak boleh lagi menunggu keadaan pandemik COVID-19 stabil sebaliknya perlu mengisi ruang dan masa yang ada dengan menjalani latihan intensif ini tanpa kompromi dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim

Beliau berkata, pemilihan perairan terbuka Laut China Selatan dekat KRMSAU sebagai lokasi alternatif untuk latihan penting ini adalah berikutan keadaan angin di Pusat Latihan Langkawi ketika ini agak perlahan dan latihan tidak dapat dijalankan seperti diharapkan oleh jurulatih.

“Sebaliknya, keadaan laut di Desaru ini amat berbeza dengan keadaan angin yang kuat dan ombak besar sekali gus sesi latihan ini mampu menggantikan latihan dan kejohanan pendedahan di luar negara yang terpaksa dibatalkan, buat ketika ini,” katanya.

Menurutnya, setakat ini jurulatih amat berpuas hati dengan keadaan laut di KRMSAU kerana atlet dapat menjalani latihan dengan kadar intensiti yang tinggi di kawasan latihan yang berbeza.

“Kem latihan sebegini memberi nafas baharu selain pendedahan positif kepada pasukan selepas mereka menjalani latihan secara kuarantin di Pusat Latihan Langkawi beberapa bulan yang lepas,” katanya.

Sementara itu MSA masih lagi mencuba untuk mendapatkan tiket kelayakan Olimpik Tokyo bagi kelas Windsurfing RS:X Lelaki yang mana dua calonnya kini mengambil bahagian dalam kejohanan Musannah Open Championship 2021 pada 1 sehingga 8 April di Musannah, Oman.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1