Ekspo kecantikan secara hibrid dianjur Oktober depan

 Ekspo kecantikan secara hibrid dianjur Oktober depan

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Ekspo kecantikan Beautyexpo edisi ke-20 dan Cosmobeauté Malaysia edisi ke-16 anjuran Informa Markets Malaysia Sdn Bhd akan diadakan secara hibrid dengan mengetengahkan komponen digital pada 1-4 Oktober depan.

Acara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu akan menjadi platform bagi kalangan profesional industri kecantikan untuk saling berinteraksi dengan komuniti berkaitan dengan mengetengahkan produk terbaharu masing-masing.

Pada masa sama, mereka juga dapat memperluas jangkauan perniagaan menerusi peluang jaringan yang luas sama ada secara langsung atau maya dari lokasi di serata dunia.

“Edisi hibrid itu menawarkan peluang besar bagi audiens dengan menggabungkan integrasi pengalaman secara dalam atau luar talian.

“Ia memberi alternatif untuk peserta antarabangsa misalnya memanfaatkan rangkaian serta akses sesi penstriman langsung secara maya,” kata Pengurus Besar Negara Informa Markets di Malaysia, Gerard Willem Leeuwenburgh dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, syarikat itu yakin untuk menganjurkan semula acara beautyexpo dan Cosmobeauté dalam format hibrid memandangkan Malaysia kini beransur-ansur beralih daripada sekatan akibat pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Malah, katanya, penganjuran acara secara hibrid itu akan menjadi kelaziman baharu bagi industri perniagaan penganjuran acara dan pameran.

Acara tersebut dijangka mengetengahkan 300 pempamer dan memperkenalkan elemen baharu pameran termasuk akademi, estetika, kecantikan dan kecantikan halal, kosmetik, penjagaan rambut, kuku serta spa.

Maklumat lanjut mengenainya di www.beautyexpo.com.my dan www.cosmobeauteasia.com.

 

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

52  +    =  56