Ekosistem e-sukan lebih sistematik dengan Esukan.gg

 Ekosistem e-sukan lebih sistematik dengan Esukan.gg

Oleh Iqhram Ahmad

PUTRAJAYA, 27 Feb: Industri sukan elektronik (e-sukan) dijangka menjadi lebih sistematik dan bersepadu dari segi ekosistem menerusi platform terbaharu e-sukan kebangsaan iaitu Esukan.gg.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, platform tersebut mampu menyediakan servis penstriman dan ranking pemain menjadi lebih tersusun,serta menyatukan penganjuran kejohanan e-sukan tempatan yang sebelum ini dibuat secara berasingan.

“Inisiatif seperti Esukan.gg ini mampu menjadi platform untuk menghubungkan antara penganjur kejohanan dan penerbit permainan. Penganjur kejohanan kini tidak perlu pergi kepada penerbit permainan untuk mendapat pengiktirafan menganjur kerana Esukan.gg akan jadi penghubung.

Reezal Merican

“Pendekatan intergrasi dengan menyatu padukan pangkalan data pemain serta menyediakan sistem ranking dan servis penstriman penonton mampu menjadikan ekosistem e-sukan negara lebih bersepadu,” katanya di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini.

Esukan.gg dilancarkan pada November lalu sebagai platform rasmi bagi Kejohanan E-Sukan Malaysia 2020/2021 yang mendapat lebih 1 juta penonton dan disertai 11,000 penggiat e-sukan negara.

Beliau berkata, platform berkenaan membantu KBS menyediakan pemain e-sukan tempatan untuk mewakili negara dalam sebarang kejohanan antarabangsa yang diiktiraf, seperti Sukan Asia dan Sukan SEA.

Menurutnya, platform itu dianggap sebagai pembuka laluan bagi pihak yang ingin menganjurkan kejohanan tanpa impak negatif kepada pembangunan sukan dan ekosistem yang berasaskan permainan video itu.

“Ramai pihak yang ingin menganjurkan kejohanan tetapi tidak menggunakan platform yang betul, sebaliknya menggunakan kaedah sendiri.

“Ekosistem yang terasing ini tidak memberi sebarang keuntungan kepada mana-mana pihak, bahkan menjadikan pembangunan e-sukan berlaku secara tidak terarah,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

79  −    =  71