Ekonomi Malaysia bertambah baik 2021, sejajar pemulihan ekonomi dunia – PM

 Ekonomi Malaysia bertambah baik 2021, sejajar pemulihan ekonomi dunia – PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Kerajaan menjangkakan kedudukan ekonomi Malaysia akan bertambah baik pada tahun ini, sejajar dengan pemulihan aktiviti ekonomi dan perdagangan dunia, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

Memetik laporan World Economic Outlook, beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada tahun 2021 diunjur kembali pulih pada kadar 5.5 peratus manakala perdagangan dunia turut diunjur kembali berkembang pada kadar 8.1 peratus.

“Badan-badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia pada bulan Januari 2021 mengunjurkan ekonomi negara kita akan berkembang pada kadar 7.0 peratus dan 6.7 peratus,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, hari ini.

Menurut perdana menteri, pemulihan ekonomi negara akan turut diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menyumbang lebih 80 peratus daripada KDNK.

“Pada masa yang sama, permintaan domestik diunjur mencatat pertumbuhan yang stabil disokong oleh penambahbaikan dalam pasaran buruh, kadar inflasi yang rendah dan keadaan pembiayaan yang menggalakkan serta penerusan semula projek utama infrastruktur,” katanya.

Justeru itu, Muhyiddin berkata kerajaan Perikatan Nasional bertekad akan memacu pemulihan ekonomi dengan lebih rancak pada tahun ini demi kesejahteraan rakyat setelah mengharungi segala cabaran pada tahun 2020.

“Saya tahu, walaupun keadaan sudah beransur pulih, ramai rakyat di luar sana masih mengalami kehilangan punca pendapatan dan banyak usahawan tertekan untuk meneruskan perniagaan,” katanya.

Sehubungan itu, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua ini, kerajaan telah berusaha untuk mengimbangi antara kepentingan kesihatan awam dan keperluan pertumbuhan ekonomi.

Beliau menjelaskan kerajaan telah membuat keputusan untuk memberi kelonggaran dengan membuka lebih banyak aktiviti ekonomi berbanding PKP kali pertama dengan syarat pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“SOP bagi semua aktiviti ekonomi juga telah ditambah baik dengan penglibatan aktif persatuan dan dewan perniagaan,” kata perdana menteri.

Katanya,  kebenaran kepada lebih banyak aktiviti ekonomi untuk beroperasi adalah amat penting kerana sebagai sebuah negara perdagangan, barangan dan produk yang dihasilkan dalam negara perlu dieksport.

“Kita tahu umpamanya sarung tangan getah, produk elektrik dan elektronik dan hasil kayu-kayan seperti perabot mendapat permintaan yang cukup memberangsangkan dalam pasaran eksport,” kata Muhyiddin.

Selain itu, katanya kelangsungan sektor-sektor ekonomi seperti pembuatan, perkhidmatan dan peruncitan juga adalah amat penting kerana ia turut membantu operasi syarikat perusahaan kecil dan sederhana dalam rantaian nilai aktiviti ekonomi negara.

Kesan pelaksanaan PKP kali kedua di peringkat awalnya adalah tiga kali lebih rendah dengan hanya pembuatan dan sebahagian peruncitan dan pembinaan yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus pengeluaran, berbanding PKP pertama, ujar beliau.

Namun, Muhyiddin berkata kehilangan hasil masih besar iaitu sekitar RM633 juta sehari.

Sehubungan itu, katanya kerajaan telah mengarahkan supaya semua aktiviti ekonomi dalam sektor perkhidmatan, peruncitan dan pembinaan dibenarkan beroperasi pada kapasiti 100 peratus dengan SOP ketat yang perlu dipatuhi.

“Kebenaran untuk beroperasi bagi aktiviti-aktiviti ekonomi ini memberi peluang kepada syarikat-syarikat untuk terus menjana pendapatan,” tambahnya.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  2  =  7