Edar kanabis 488 gram, tukang kebun ke tali gantung

 Edar kanabis 488 gram, tukang kebun ke tali gantung

KUALA LUMPUR, 1 April — Seorang tukang kebun dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 488 gram dadah jenis kanabis, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Zamri Saidin, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Ahmad Shahrir berkata keterangan kes pembelaan nyata bersifat bertentangan dan menongkah naratif kes pendakwaan.

“Keterangan kes pendakwaan menjurus kepada penemuan plastik hitam berisi 488 gram kanabis itu dalam raga motosikal┬áYamaha yang ditunggang tertuduh sedangkan keterangan pembelaan mengatakan plastik hitam itu dijumpai berhampiran┬ápasu di perkarangan kawasan rumah di Kampung Baru di sini,” katanya.

Hakim itu berkata apabila pembelaan mengemukakan naratif yang bertentangan dan menongkah naratif kes pendakwaan, pada hakikatnya, pembelaan mengutarakan gagasan yang menunjukkan saksi-saksi pendakwaan tidak berkata benar dan telah menganiayai tertuduh melalui keterangan mereka.

“Tanpa sebarang keterangan yang boleh dipercayai bagi menunjukkan wujudnya sebarang hasad atau dendam terhadap tertuduh hingga sanggup memberikan keterangan palsu yang boleh mengakibatkan tertuduh dihukum mati atau penjara seumur hidup, mahkamah ini tidak mempunyai sebarang justifikasi untuk membuat dapatan bahawa saksi-saksi pendakwaan telah mereka-reka keterangan semata-mata untuk menganiayai tertuduh,” katanya.

“Setelah menilai keterangan pembelaan dan mempertimbangkan keterangan kes pendakwaan, mahkamah mendapati┬átertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan gagal mematahkan anggapan┬ámengedar di bawah Seksyen 37(da)(vi) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah bagi pertuduhan┬ámengedar 488 gram kanabis di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 seperti dalam┬ápertuduhan. Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh,” kata hakim itu.

Mohd Zamri dituduh mengedar dadah berbahaya itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Baru pada 3.45 petang, 8 Mac 2018, mengikut Seksyen 38B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 15 sebatan.

Sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi manakala Mohd Zamri diwakili peguam Luqman Mazlan, Rosal Azimin Ahmad dan Muhammad Amiraizat Abdul Rani.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  1  =  1