ECJ Cares sumbang 6,400 kampit beras sempena Hari Kemerdekaan

 ECJ Cares sumbang 6,400 kampit beras sempena Hari Kemerdekaan

Mohamad Yusnizam (tengah) dan Zahir Shah (kanan) membantu mengangkat beras untuk diagihkan kepada NGO yang bertanggungjawab menyerahkan bantuan berkenaan kepada golongan memerlukan.

KUANTAN, 26 Ogos — Pertubuhan Kebajikan Persaudaraan Elit Jaz Malaysia (ECJ Cares) mengagihkan sebanyak 6,400 kampit beras kepada 13 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara untuk disumbangkan kepada golongan yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Program prihatin sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-64 itu antara usaha dilakukan pihak terbabit yang turut menyediakan foodbank dan pelbagai bantuan lain sejak awal tahun ini.

Timbalan Pengerusi Program Kempen Merdeka 64, Mohamad Yusnizam Mohd Yusof, 41,, berkata selain 13 NGO yang bertanggungjawab menyampaikan sumbangan, lapan ahli ECJ Cares turut terbabit membantu menyerahkan bantuan berkenaan.

Menurutnya, penyerahan bantuan kepada golongan memerlukan akan dilakukan pada 31 Ogos nanti, sekampit beras akan diberikan kepada satu keluarga yang telah disenaraikan.

Katanya, di Pahang pihaknya mendapat bantuan daripada 11 NGO untuk menyampaikan bantuan sebanyak 1,500 kampit beras membabitkan daerah ini sebanyak 1,000 kampit dan Raub (500).

“ECJ Cares mempunyai dana khas bagi menjayakan program bantuan beras sempena Hari Kemerdekaan Negara Ke-64 kali ini, sumbangan turut diterima daripada pelbagai pihak yang prihatin dengan golongan yang terkesan dengan PKP 3.0.

“Di daerah ini kita turut menyediakan sebanyak 120 beg foodbank berupa barangan keperluan asas seperti minyak masak, tepung, gula, biskut, beras dan kicap. Mereka yang memerlukan boleh datang mengambil di Dapur Infaq Ummah Indera Mahkota, di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan 1,000 kampit beras kepada 11 NGO di pekarangan
Laman Kopi & Teh, Indera Mahkota, di sini hari ini.

Setiausaha Dapur Infaq Ummah, Zahir Shah Zahid berkata, pihaknya mengagihkan beras sumbangan ECJ Cares kepada mereka yang layak pada 31 Ogos nanti.

“Kita juga turut memasak beras yang diterima untuk diberikan kepada komuniti Jalan Pasar dan Jalan Wong Ah Jang menerusi program bantuan makanan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1