EAIC biar PDRM siasat 34 pegawai terlibat kes geng Nicky

 EAIC biar PDRM siasat 34 pegawai terlibat kes geng Nicky

PUTRAJAYA, 1 April — Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak akan ‘masuk campur’ dalam siasatan terhadap 34 pegawai penguatkuasa, yang didakwa terlibat dengan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’, kata Pengerusinya Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Bagaimanapun katanya, suruhanjaya itu akan memantau rapat siasatan berkenaan yang akan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga selesai.

“Kita (EAIC) juga akan mencadangkan syor dan pandangan kepada PDRM jika perlu,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Sedekad Penubuhan EAIC dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang EAIC 2020 di sini hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini mendedahkan, seramai 34 pegawai dan anggota agensi penguatkuasa disyaki mempunyai hubungan dengan sindiket jenayah terancang itu, dengan majoritinya adalah pegawai dan anggota polis.

Ketua sindiket itu Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33, yang menjadi buruan polis, lolos dalam serbuan Operasi Pelican 3.0 ekoran kebocoran maklumat.

Nicky Liow yang juga suspek utama, dipercayai mengetahui maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat Polis Kontinjen Johor pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai, anggota polis dan agensi penguatkuasa lain, yang berada di bawah kawalannya.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

39  +    =  40