Durian ‘gergasi’ Bantal Mas sedap dan murah, jadi buruan penggemar raja buah

 Durian ‘gergasi’ Bantal Mas sedap dan murah, jadi buruan penggemar raja buah

Zulkifly Mahmud (kanan) dan anaknya, Noor Haffiz Idzhar bersama buah durian Bantal Mas bersaiz besar.

JERANTUT, 10 Jul — Bersaiz besar hingga mencapai berat 10 kilogram sebiji menjadikan buah durian Bantal Mas atau Monthong kini mendapat permintaan menggalakkan daripada pengemar raja buah itu.

Walaupun pengeluaran buahnya yang terhad namun kebanyakan pekebun di daerah ini menjualnya pada yang berpatutan berbanding beberapa durian klon terkenal seperti Musang King, D24, IOI dan Tekka.

Pekebun, Zulkifly Mahmud, 55, berkata, dia memiliki empat pokok durian jenis berkenaan berusia lebih 20 tahun yang kini sedang lebat mengeluarkan hasil, lebih 1,000 biji buah yang belum masak.

Menurutnya, pokok berkenaan boleh dikatakan hampir setiap tahun mengeluarkan hasil yang banyak, faktor penjagaan terutama pembajaan banyak mempengaruhi pengeluaran hasil secara berterusan dan bersaiz besar.

Katanya, untuk memastikan musuh terutama tupai tidak menyerang, dia dan anaknya, Noor Haffiz Idzhar, 20 secara bergilir menjaga setiap hari, pelbagai cara digunakan untuk menghalau haiwan terbabit yang menyerang pada waktu pagi dan petang.

Isi buah durian Bantal Mas kekuningan.

“Isi durian Bantal Mas tebal dan berwarna kekuningan, ia amat sesuai dimakan secara beramai-ramai kerana ulasnya saiznya besar. Sekali makan pasti kenyang.

“Tahun lalu pokok durian berkenaan turut mengeluarkan buah yang banyak, saya menjual dengan harga antara RM15 hingga RM18 sekilogram sebiji,” katanya.

Zulkifly yang menetap di Kampung Belukar, dekat sini berkata, tupai memang meminati isi durian Bantal Mas mungkin kerana rasanya yang sedap, selain tarikan bau raja buah bersaiz besar itu.

Menurutnya, saiz buah yang besar menyebabkan kejadian dahan patah mudah berlaku, minggu lalu sebatang dahan yang terdapat lebih 30 biji buah patah menyebabkan kerugian lebih RM8,000.

Dia yang mempunyai kebun durian seluas 0.8 hektar berkata, kali ini hampir semua 40 pokok durian pelbagai jenis mengeluarkan hasil yang banyak namun hanya beberapa pokok sahaja buahnya gugur.

“Saya berharap semua buah durian Bantal Mas tidak dirosakkan oleh tupai, rezeki saya tahun ini akan bertambah sekiranya musuh tidak menganggu,” katanya.

Bagi Noor Haffiz Idzhar, setiap hari dia terpaksa menunggu kebun durian bagi memastikan musuh tidak datang merosakkan buah.

“Tupai akan menyerang buah durian Bantal Mas apabila buahnya hampir masak dan berbau, buah yang rosak akan gugur.

“Saya menggunakan pelbagai cara bagi menghalau tupai antaranya mengetuk tin kosong di bawah pokok,” katanya yang meminati aktiviti pertanian.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *