Dugaan Ramadan, keluarga Rahim tinggal sehelai sepinggang

 Dugaan Ramadan, keluarga Rahim tinggal sehelai sepinggang

Mohd Fadel (kiri) melawat keluarga Muhammad Aliff yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah bapanya di Taman Desa, Kluang, semlam selepas musnah dalam kebakaran

Oleh Nurman Nasyriq

Muhammad Aliff

KLUANG, 24 April – Rasa luluh dan pilu buat sebuah keluarga di Taman Desa di sini dirundung tragedi apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran.

Semua mangsa tinggal sehelai sepinggang kerana gagal menyelamatkan barangan berikutan api marak begitu pantas, merebak sehingga menyebabkan rumah dua tingkat itu terbakar jam 9.30 pagi kelmarin.

Rumah tersebut dihuni Rahim Omar, 69, dan dua anaknya, Muhammad Aliff, 35, dan Nur Izzati, 27.

Menurut Muhammad Aliff, ketika kejadian bapanya pergi ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk mengambil ubat manakala Nur Izzati bekerja sebagai kerani di Pejabat Poslaju Bandar Tenggara, Kota Tinggi.

Dia yang sedang bekerja sebagai penghantar barangan di Poslaju Kluang mendapat panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan rumahnya terbakar sebelum bergegas pulang.

“Sampai sahaja di lokasi api sudah dipadamkan anggota bomba dan memang kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang. Kejadian tersebut menyebabkan rumah empat bilik terbabit hampir musnah semuanya.

“Ada saksi yang juga jiran-jiran memberitahu api marak daripada ruang tamu.

“Rumah ini dibeli ibu saya dan ketika kejadian ibu berada rumah adik di Pasir Gudang. Kami anggap ini dugaan terbesar Ramadan kali ini dan semoga Allah menganjari pahala sabar kami dengan syurga-Nya,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Negeri Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi di rumahnya, semalam.

Mohd. Fadel menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga tersebut dan meminta mereka bersabar dengan ujian tersebut.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penguasa Bomba Kanan II Noorhakim Nordin berkata, 14 anggota, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan atas dan bawah rumah. Kebakaran tidak melibatkan mangsa. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Operasi tamat jam 11.11 pagi,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

15  −    =  8