Duang, ngeduang budaya unik Aidilfitri masyarakat Bajau

 Duang, ngeduang budaya unik Aidilfitri masyarakat Bajau

Duang diangkut menggunakan kereta kerbau dikenali `kangga’.

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA KINABALU, 12 Mei – Budaya bertukar `duang’ yang menjadi pengisian wajib sambutan Aidilfitri dan Aidiladha masyarakat Bajau di Pantai Barat Sabah menghampiri era hilang dalam radar kebudayaan, kesenian dan warisan negara berikutan sikap dingin generasi muda untuk mempertahannya.

Duang untuk imam dan golongan bangsawan dikenali `duang tabak’

`Duang’ bermaksud dulang atau dalam konteks bertukar `duang’ merujuk kepada bahan makanan dan minuman yang asalnya disimpan dalam dulang, dipindahkan ke `tembusa’ atau beg galas hasil anyaman daun kelapa pada zaman silam.

Kaedah pembungkusan turut berubah secara berperingkat mengikut peredaran zaman kepada kain sarung, kotak kertas, beg plastik, bakul raga plastik dan hamper.

Lazimnya, upacara `ngeduang’ atau bertukar bahan makanan berlangsung di masjid selepas solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha serta dikenali `duang subuh’ atau `duang raya’ kerana kemuncak penyediaannya adalah pada waktu subuh menjelang lebaran.

Budaya itu penting dalam pengukuhan persaudaraan dan hubungan kekeluargaan masyarakat Bajau pada hari raya kerana berjaya menyatupadukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira darjat dan latar belakang ekonomi.

Tembusa’ yang diperbuat daripada daun kelapa muda.

Sayangnya, ketika ini budaya itu hanya diamalkan di beberapa perkampungan masyarakat Bajau di Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Pitas, Tuaran, Sepanggar, Likas, Petagas, Putatan, Kinarut, Papar dan Kuala Penyu.

Penulis sempat menelusuri budaya itu pada akhir era kegemilangannya pada awal 1980an kerana ketika itu sering mengikuti keluarga menyertai majlis bertukar `duang’ di Masjid Kampung Tanjung Pasir atau lebih popular `Balai Diah’ di Kota Belud.

Ketika itu, perhubungan ke Kampung Tanjung Pasir adalah jalan tanah hitam tanpa sebiji batu yang hanya boleh dilalui pejalan kaki dan haiwan tunggangan seperti kuda dan kerbau, menyebabkan `duang’ terpaksa diangkut menggunakan kereta kerbau tanpa roda dikenali `kangga’.

Sebuah keluarga membawa sekurang-kurangnya lima `tembusa’ berisi bahan makanan dan diwajibkan menyediakan kuih tradisional masyarakat Bajau seperti `penjaram’, `penganan’ dan `penetad’.

Mengikut pengkaji budaya Bajau, Maljim Anjil, ‘tembusa’ adalah bakul diperbuat daripada daun kelapa muda menggunakan teknik anyaman yang unik.

Duang untuk golongan bangsawan pula dikenali `duang tabak’ yang biasanya bahan makanan dihidang dalam dulang tembaga dan diletakkan di atas cembul tembaga.

Cembul adalah satu daripada lima komponen dalam tepak sireh meliputi bekas pinang, kapur, gambir, tembakau dan bunga cengkih.

Mengikut kajian dua pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Helena Sendera Mohd Yakin dan Prof Madya Dr Saidatul Nornis Mahali, dalam tesis mereka bertajuk `Duang: Satu Tafsiran Awal Tentang Budaya Klasik Bajau’, penjaram adalah menu wajib `duang’.

Kuih tradisi masyarakat Bajau, Penjaram juadah wajib dalam `duang’.

Penjaram diperbuat daripada tepung beras meliputi dua bentuk iaitu bulat pinggir bercorak dan `samarinda’ (bulat pinggir tiada corak) dan ada tiga warna mengikut bahan pewarna asli iaitu putih menggunakan gula putih, coklat (gula tebu asli) dan hijau (pandan wangi).

Kuih tradisional lain yang disediakan adalah penganan’ (kuih cincin), `berati’ (bertih), `kalas’ atau ketupat palas, `wajit’ atau wajik, inti kelapa dan minuman tradisi seperti `sepang’.

Menu lain adalah daging, ikan dan sayur yang dimasak secara moden dan tradisional, begitu juga pelbagai minuman dan makanan moden termasuk sirap `leminit’ (lemonade).

Sebelum `duang’ dibawa pulang, pemilik dan penerima akan meminta restu supaya segala kekurangan dirahsiakan bagi mengelak wujud persengketaan dan perasaan riak serta hasad dengki.

Seorang wanita Bajau (kiri) menjunjung `tembusa’ ke masjid pada Aidilfitri.

Pada awal 1980an, penggunaan `tembusa’ masih diamalkan dan mulai pertengahan 1980an pembungkusan `duang’ bertukar kepada kotak kertas dan seterusnya sejak pertengahan 1990an hingga kini ia diganti beg plastik, raga plastik dan hamper.

 

Ada serangkap pantun Bajau yang menggambarkan budaya `ngeduang’, `tembusa’ dan `kangga’ serta Balai Diah dan bermaaf-maafan pada hari raya:

Duun suka’ benuat tembusa’,

Tembusa kenangga Embalai Diah;

Maung denakan nambut elau raya,

Siampun semaap semomon salah.

Bakul raga yang digunakan menggantikan tembusa’.

Mungkinkah `duang’ dianggap tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa sehingga ia meniti usia senja dan kini hanya diamalkan oleh beberapa kampung di Pantai Barat Sabah.

Saiz `duang’ juga semakin kecil dan kini kecenderungannya sebuah keluarga hanya membawa sebakul `duang’ dalam beg plastik untuk ditukar selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.
Begitulah uniknya `duang’, budaya masyarakat Bajau yang kini semakin meniti era kemalapan dan bakal hilang dalam kehidupan masyarakat Bajau jika tiada usaha untuk mempertahannya terutama dalam kalangan belia.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  7  =  1