Dua warga emas ditahan cuba seludup petrol ke negara jiran

 Dua warga emas ditahan cuba seludup petrol ke negara jiran

TANAH MERAH, 19 Feb — Dua lelaki warga emas ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak petrol ke negara jiran melalui pangkalan haram Nurut berdekatan Bukit Bunga, di sini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tanah Merah Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata kedua-dua suspek warga tempatan berusia 64 tahun itu ditahan sepasukan anggota Rejimen Sempadan Batalion Ke-4 Kem Gerik, Perak.

“Kegiatan mereka dikesan ketika anggota tentera sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut. Dua buah kenderaan berada di situ dalam keadaan mencurigakan dan dua lelaki sedang memunggah tong plastik dipercayai minyak petrol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Azizi, pihaknya turut merampas dua kenderaan bersama-sama 500 liter minyak petrol yang diisi dalam tong plastik dan nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM3,484.30.

Katanya, kedua-dua warga emas berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan barang kawalan ke Thailand.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

25  −    =  16