Dua warga emas dapat rumah ‘hadiah’ Aidilfitri

 Dua warga emas dapat rumah ‘hadiah’ Aidilfitri

Baharom Kadir (kiri) dan Mohd Nasrul Hakim di hadapan rumah yang dibina.

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 11 Mei – “Aidilfitri yang dijangka disambut Khamis ini sangat bermakna apabila saya dapat menyambutnya di rumah baharu yang begitu selesa dan menarik.

“Rumah papan tempat saya berteduh lebih 60 tahun kini bertukar menjadi rumah simen,” kata warga emas, Mustafa Kasim, 79.

Beliau yang menetap di Kampung Permatang Pauh, di sini adalah antara penduduk bertuah yang menerima bantuan baik pulih rumah sebanyak RM30,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Warga emas ini mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu. Sebelum ini keadaan rumahnya begitu uzur dan tidak selamat didiami terutama selepas banyak atap bocor dan kayu reput dimakan anai-anai.

Namun kini Mustafa boleh tinggal lebih selesa dalam rumah baharunya. Katanya, beliau bagaikan tidak percaya apabila pegawai MUIP berjumpanya bulan lalu dan memberitah, rumah baharu yang lebih selesa akan dibina untuknya.

Lebih manis lagi, katanya, apabila kesudian Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah datang melihat proses membuat rumah beliau sambil Tuanku sendiri mengikat batu bata.

Mustafa Kasim di hadapan rumah baharunya.

“Tuanku begitu prihatin dengan kesusahan rakyat jelata. Saya difahamkan sokongan Tuanku melayakkan saya menerima bantuan baik pulih rumah ini,” katanya.

Mustafa berkata, setiap bulan beliau menerima bantuan RM400 daripada MUIP dan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyara kehidupannya yang sebatang kara.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Permatang Pauh, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, lima penduduk Kampung Permatang Pauh menerima bantuan baik pulih rumah daripada MUIP.

“Saya membuat permohonan bantuan kepada MUIP yang sentiasa berusaha memberi bantuan kepada golongan asnaf di negeri ini.

“Selain bantuan baik pulih terdapat juga dikalangan mereka menerima rumah baharu,” katanya.

Bekas jurulatih kuda polo, Baharom Kadir, 59, sekeluarga juga bakal menyambut Aidilfitri kali ini di rumah baharu yang begitu selesa dan menarik.

Rumah pusaka berusia lebih 50 tahun itu sebelum ini terbiar dan kini bertukar wajah kepada rumah simen.

Warga Kampung Permatang Pauh itu menerima bantuan baik pulih rumah sebanyak RM20,000 daripada MUIP. Keadaan rumahnya sebelum ini begitu uzur terutama selepas beberapa tahun tidak berpenghuni,
“Rumah baharu ini siap dibina mengikut jadual. Jadi, dapatlah kami sekeluarga beraya dalam suasana lebih ceria,” kata sambil mengucapkan terima kasih kepada MUIP atas bantuan yang diberikan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  6  =  3