Dua suspek penjenayah warga asing maut selepas berbalas tembakan dengan polis

 Dua suspek penjenayah warga asing maut selepas berbalas tembakan dengan polis

BUKIT MERTAJAM, 16 Sept — Polis menembak mati dua lelaki warga asing yang menjadi buruan kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kes jenayah di Pulau Pinang, dalam kejadian berbalas tembakan di Bukit Mengkuang, Kubang Semang di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata insiden bermula apabila polis mengesan sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu yang dinaiki dua lelaki dari Jalan Penanti, dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira pukul 5.30 pagi.

“Dalam Ops Api Siakap, polis berjaya mengesan dua lelaki itu menaiki sebuah kereta dan pasukan (polis) mengarahkan pemandunya memberhentikan kereta namun suspek memecut laju kenderaan sebelum berhenti di kawasan semak berhampiran bukit berkenaan.

“Tiba-tiba lelaki yang berada di bahagian penumpang hadapan keluar dan terus melepaskan dua das tembakan ke arah pihak polis yang mengejar kenderaan mereka manakala pemandunya menyerang menggunakan parang ke arah polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya dua lelaki itu bertindak agresif dan pihak polis terpaksa mempertahankan diri dengan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka, menyebabkan dua suspek itu terbunuh.

Mohd Shuhaily berkata berdasarkan siasatan awal, dua lelaki yang ditembak mati itu berusia lingkungan 30an serta 40an dan polis tidak menemukan sebarang dokumen perjalanan diri bersama mereka.

“Setakat ini identiti mereka belum dapat dikenal pasti lagi berikutan tiada sebarang dokumen perjalanan diri ditemukan, namun berdasarkan siasatan suspek memang menjadi buruan polis berikutan terlibat dalam kes jenayah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan kereta dinaiki mereka, pihak polis menemukan dadah jenis heroin serta pelbagai peralatan pecah rumah di bahagian but kenderaan yang dilaporkan hilang pada 29 Ogos tahun lepas berkaitan laporan di Sungai Petani, Kedah.

Menurutnya polis turut merampas sepucuk pistol berisi enam butir peluru dan parang yang digunakan suspek dalam kejadian.

“Mayat dua lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

43  −  37  =