Pasangan kekasih ambil upah baling molotov cocktail ditahan

 Pasangan kekasih ambil upah baling molotov cocktail ditahan

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 15 Mac — Pasangan kekasih yang menerima upah membaling molotov cocktail di rumah peminjam wang ah long di sekitar Seri Alam ditahan polis dalam satu serbuan malam tadi.

Pasangan berusia 30 dan 28 itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di kawasan Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, di sini jam 11.30 malam.

Superintendan Mohd Sohaimi Ishak

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pasangan itu ditahan selepas membaling molotov cocktail di sebuah rumah di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, dekat sini pada 3 Mac lalu.

“Kedua-dua suspek ditahan susulan laporan seorang lelaki berusia 30 tahun berhubung kejadian itu yang menyebabkan bahagian depan rumah dan kenderaan miliknya terbakar.

“Dalam serbuan itu polis merampas kereta Toyota Vios putih, dua tong plastik, satu botol plastik, satu botol alumunium dan satu corong plastik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semakan polis mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod jenayah dan satu rekod berkaitan dadah, manakala suspek wanita pula mempunyai satu rekod jenayah.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek turut terlibat dengan beberapa kes lain melibatkan jenayah membaling molotov cocktail dan cat di sekitar kawasan Seri Alam.

Perbuatan jenayah dilakukan itu bermotifkan tuntutan hutang kepada pihak disasarkan dan kedua-dua suspek menerima upah dengan kadar bayaran tertentu daripada pihak pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman enam hari bermula hari ini dan dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Mohd Sohaimi memberitahu, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 14 tahun atau denda RM50,000.

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  5  =  12