Dua sindiket dadah tumpas, lima tokan ditahan

 Dua sindiket dadah tumpas, lima tokan ditahan

JOHOR BAHRU – Dua sindiket dadah tumpas selepas lima dalangnya dicekup dan polis merampas kira-kira 35 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM1.1 juta dalam tiga serbuan berasingan di Kota Tinggi dan Johor Bahru, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menahan suspek berusia antara 23 hingga 59 tahun dalam serbuan selama dua hari itu.

Ayob Khan (dua dari kanan) melihat pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas dalam sidang media di IPK, Johor Bahru, hari ini

Dalam serbuan hari pertama, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 39 dan 49 tahun di dalam sebuah kenderaan kira-kira jam 3 petang berhampiran kedai makan di Kota Tinggi, Selasa lalu.

Pemeriksaan lanjut ke atas Honda CRV yang digunakan menemukan 14.5 kg ganja bernilai RM36,392 di dalam bonet kenderaan tersebut.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak awal Julai lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Susulan penahanan itu, polis turut menyita kenderaan berkenaan, motosikal jenis Yamaha LC135, wang tunai RM564 dan SG$279.

Ayob Khan berkata, hasil saringan urin mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Dalam operasi berasingan, telah melancarkan dua serbuan dalam operasi khas antara 9 pagi hingga 3 petang di sekitar Johor Bahru, Rabu lalu.

“Dalam serbuan pertama, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun telah ditangkap bersama sejumlah rampasan dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Susulan serbuan tersebut, Ayob Khan berkata, polis telah membuat tangkapan terhadap pasangan suami isteri berusia 53 dan 59 tahun.

Hasil saringan urin mendapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin dan semakan rekod mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Modus operandi sindiket dadah yang beroperasi sejak Ogos lalu adalah dengan menyewa pangsapuri berpagar dan berpengawal yang dijadikan stor pembungkusan dadah untuk aktiviti ‘private party’ dan pusat hiburan di sekitar Johor Bahru,” katanya.

Polis merampas 21.18kg serbuk ekstasi, 78.6 gram (g) ketamin, 1.8g syabu, 90 pil ekstasi dan 170 pil eramin 5 selain merampas sebuah kereta BMW dan merampas wang tunai RM3,495.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Selasa dan Rabu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =