• Thursday, 17 June 2021, 12:55 pm

Dua PPV akan dibuka di Muar

 Dua PPV akan dibuka di Muar

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU – Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menyifatkan kenyataan tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) semalam berkenaan ketiadaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan Perdana Menteri sebagai berniat buruk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu menegaskan, pembukaan PPV adalah berdasarkan kesesuaian serta dibuka mengikut keperluan dan maklumat itu boleh dicapai sesiapa sahaja termasuk wakil rakyat PH dalam laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, setiap PPV yang ada di negara ini termasuk 26 PPV di Johor dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ketiadaan PPV di Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, iaitu kawasan yang diwakili oleh Perdana Menteri selaku Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir buat masa ini tidak bermakna tiada sebarang usaha dibuat untuk mewujudkan PPV bagi memudahkan penduduk mendapatkan vaksin.

“Sebagai ketua kerajaan yang bertanggungjawab, YAB Perdana Menteri telah menyerahkan sepenuhnya kepada pihak kementerian untuk mengenal pasti lokasi yang bersesuaian bagi membuka PPV.

“Untuk makluman, usaha mewujudkan dan menambah bilangan PPV terutama di Muar telah lama dilaksanakan. Saya sebagai wakil rakyat DUN Bukit Kepong telah menyuarakan hasrat kepada kerajaan agar dibuka PPV di kawasan yang saya wakili,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, tiga wakil rakyat PH mendakwa penduduk di kawasan diwakili Perdana Menteri, iaitu di Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir terpaksa membuat perjalanan jauh jika mahu mendapatkan vaksin kerana tiada PPV di situ.

“Kami amat terkejut dengan berita di mana kawasan yang diwakili Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menghadapi masalah ketiadaan PPV,” demikian menurut kenyataan bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong dan ADUN Skudai, Tan Hong Pin.

Sahruddin memberitahu, dua PPV akan dibuka tidak lama lagi, iaitu di Dewan Serbaguna Pagoh, Pagoh dan Dewan Muafakat Johor, Bukit Gambir bagi memudahkan proses vaksinasi.

PPV di Pagoh dijangka dibuka pada 6 Jun ini, manakala PPV di Bukit Gambir dalam masa terdekat tertakluk kepada keputusan KKM.

Perkara tersebut diputuskan dalam satu mesyuarat melibatkan agensi dan jabatan berkaitan pada 31 Mei lalu.

“Dalam mesyuarat tersebut KKM memberikan pandangan bahawa betapa perlunya untuk menambah PPV di daerah Muar. Oleh itu, kenyataan wakil rakyat PH semalam sama sekali tidak berasas dan jelas berniat buruk.

“Ini untuk memberikan tanggapan negatif terhadap Perdana Menteri serta kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ingatan saya kepada mereka, isu menangani pandemik Covid-19 memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pembangkang,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *