Dua pengadil hoki Malaysia dilantik adili Piala Dunia Remaja

 Dua pengadil hoki Malaysia dilantik adili Piala Dunia Remaja

Eric (kiri) dan Ilanggo akan adili perlawanan di Bhubaneswar. FOTO FB Malaysian Hockey Federation

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Dua pengadil hoki dari Malaysia, K Ilanggo dan Eric Koh, mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) apabila dilantik mengadili Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 di Bhubaneswar, India pada 24 November hingga 5 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Ranjit Singh berkata pelantikan dua pegawai itu membuktikan bahawa pengadil daripada Malaysia mempunyai kualiti tersendiri hingga mendapat kepercayaan daripada badan induk hoki dunia.

Beliau berharap ia menjadi pembakar semangat untuk pengadil lain agar meningkatkan prestasi mereka agar turut diberi kepercayaan mengadili kejohanan antarabangsa pada masa hadapan.

“Saya bagi pihak jawatankuasa berasa bangga kerana ada dua pengadil Malaysia yang bertugas di Piala Dunia Remaja. Kami berharap pada masa hadapan dalam kejohanan seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia akan ada lebih ramai pengadil daripada Malaysia akan betugas,” katanya dalam kenyataan.

Ranjith berkata KHM sebelum ini telah menghantar Ilanggo bersama skuad senior kebangsaan ke Siri Jelajah United Kingdom (UK) untuk mengadili perlawanan di sana termasuk perlawanan ujian sebagai persediaan buat dirinya.

Sedikit sebanyak pengalaman di sana diharap akan membantu Ilanggo sebelum mengadili perlawanan di Piala Dunia Remaja Lelaki. Ketika membuat keputusan untuk menghantar Ilanggo, Eric masih belum dilantik oleh pihak FIH, kerana itu, kami hanya menghantar Ilanggo.

“Bagaimanapun, Eric adalah seorang pengadil yang cukup berpengalaman dan telah mengadili Kejohanan Hoki Piala Dunia Lelaki 2018 juga di Bhubaneswar. Jadi pengalaman Eric tentu akan membantu beliau dan kedua-dua pengadil kini telah bersedia sepenuhnya menjelang kejohanan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ranjit berkata Jawatankuasa Pengadil KHM juga merancang untuk menggunakan kesibukan kalendar kejohanan antarabangsa 2022 sebagai platform menghantar lebih ramai pengadil ke kejohanan antarabangsa bagi menaik taraf pengadil tempatan.

Beliau berkata Malaysia memiliki 11 pengadil bertaraf antarabangsa, serta 30 pengadil dalam Kelas 1 yang berpotensi besar untuk dinaik taraf kepada pengadil kelas antarabangsa sekiranya prestasi mereka berada pada tahap terbaik.

Esme Johari Wahab

http://wacana.my

esme.johari@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

51  +    =  58