Dua OKU bakal cipta nama dalam MBOR, berkayak rentas Sungai Perak

 Dua OKU bakal cipta nama dalam MBOR, berkayak rentas Sungai Perak

KAMPAR, 17 Okt — Dua belia orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan bakal mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) melalui misi Dayungan Duo Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), bersempena Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, 5 Nov depan.

Muhamad Shahrizal Ismail, 24, dan Khairruddin Mazli 30, kedua-duanya bekerja sebagai tukang urut akan melakukan dayungan kayak merentasi Sungai Perak sejauh 20 kilometer bermula dari Kem Rekreasi Intan Suraya, Sungai Siput dan berakhir di Jambatan Victoria, Kuala Kangsar.

Kedua-duanya giat menjalani latihan sejak sebulan lepas di bawah bimbingan pendayung solo negara, Nur Adilla Abu Hassan dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kampar, Yusnizan Md Yusof serta membabitkan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata inisiatif dan usaha dilakukan mereka dapat dijadikan kayu pengukur kepada individu kelainan upaya lain.

“Kerajaan negeri sentiasa memberikan tumpuan pembangunan kumpulan ini agar mereka juga boleh diterjemahkan sebagai sumber manusia yang menyumbang kepada pertumbuhan negeri.

“Justeru, kerajaan negeri memberi sokongan padu sepenuhnya agar misi dayungan ini dapat dicapai dengan jayanya,” katanya pada sidang media mengenai dayungan berkenaan di Kompleks Rakan Muda Kampar di sini hari ini.

Sementara itu, Khairruddin berkata pada mulanya dia berasa kekok untuk melakukan aktiviti berkayak kerana agak sukar untuk memegang pengayuh dan mendayung kayak.

Khairruddin yang juga anak keempat dari enam beradik itu berkata dia hilang upaya penglihatan sejak sepuluh tahun lepas akibat penyakit glaukoma.

Muhamad Shahrizal pula berkata dia menjalani latihan bersama rakannya itu bermula 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.

“Saya berasa berdebar menjelang hari misi dayungan tersebut tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik nanti,” kata anak sulung dari tujuh beradik yang cacat penglihatan sejak lahir.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *