Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Dua lelaki ditahan ceroboh pengkalan TUDM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Dua lelaki ditahan ketika menceroboh ke dalam Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, kejadian disedari oleh Pengawal Pangkalan Udara setelah terlihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan keluarga angkatan tentera kira-kira pukul 9.15 pagi.
“Kedua-dua suspek pada mulanya berjaya melarikan diri namun pemeriksaan lanjut di luar tembok lokasi kejadian telah menjumpai dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Honda Future yang disyaki digunakan oleh suspek.
“Turut ditemui adalah dua buah bekas berisi tembaga dan kabel elektrik yang disyaki diambil dari dalam kawasan pangkalan udara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

— FOTO IHSAN PDRM
Polis dimaklumkan tentang kejadian tersebut telah berjaya membuat tangkapan ke atas kedua-dua suspek yang berusia 19 dan 35 tahun serta merampas dua buah telefon bimbit dan peralatan yang digunakan semasa melakukan jenayah.
“Kedua-dua suspek bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan mereka akan dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hari ini.
“Saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini dikehendaki hadir ke balai polis berhampiran untuk memberi keterangan,” katanya.