Dua ‘kitchen’ terkenal agih makanan percuma

 Dua ‘kitchen’ terkenal agih makanan percuma

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR 15 Feb: Nama Chef on Wheels tidak asing lagi dalam dunia hiburan sebagai syarikat katering yang menyediakan makanan enak kepada selebriti dan kru konsert bertaraf antarabangsa.

Malah, syarikat ini juga pernah menjadi penyedia makanan kepada bintang terkemuka dunia seperti seperti Ed Sheeran, James Blunt, Metallica, Mariah Carey, Shawn Mendes dan Bruno Mars.

Kini pemilik Chef on Wheels, Seet Wai Song dan isteri, Christine Chua mempunyai misi lebih penting iaitu menyediakan makanan kepada petugas barisan hadapan dan rakyat yang memerlukan terutama yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Wai Song dan Christine mula menerajui sebuah inisiatif diberi nama Sponsor-a-Meal (SAM) yang membolehkan orang ramai  atau badan korporat menaja makanan untuk penerima yang telah dikenal pasti.

Nama Seet dan Chef on Wheels tidak asing lagi di kalangan sukarelawan dan barisan hadapan

“Penderma akan menyumbangkan wang atau barangan keperluan kepada kami dan kami akan memasak makanan untuk diagihkan kepada penerima,” katanya sambil menambah, makanan itu dihantar khususnya kepada petugas barisan hadapan yang bertugas sebelah  malam.

Sebagai ahli Persatuan Bulan Sabit Merah, nama Wai Song dan Chef on Wheels tidak asing lagi di kalangan sukarelawan dan barisan hadapan kerana mereka sering menyertai misi kemanusiaan seperti membantu menyediakan makanan kepada mangsa banjir di Johor, Kelantan dan Pulau Pinang.

Chef on Wheels tidak berseorangan dalam misi bantuan mereka. Seorang lagi wira tidak didendang, William Cheah yang menerajui perniagaan katering dengan syarikatnya, Kembara Kitchen turut membantu menyediakan makanan kepada barisan hadapan dan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Sukarelawan Kembara Kitchen menyediakan makanan untuk diagihkan

Kembara Kitchen beroperasi dari Seksyen 24 Shah Alam dengan 90 peratus petugas mereka adalah sukarelawan. “Sebelum PKP, tujuan utama penubuhan syarikat kami adalah untuk menampung keperluan kerja amal kami yang turut dikenali sebagai Kembara,” katanya.

Cheah dari Pulau Pinang berkata, selain mahu berkongsi menu tradisi kaum Cina dengan masyarakat lain, beliau mahu mengajak lebih ramai syarikat korporat untuk turut serta.

“Saya akui lantang bersuara menegur pihak berkepentingan mengenai cara mereka beroperasi namun ia bukan atas dasar kebencian, saya hanya mahu kita sebagai sebuah negara dapat bekerjasama membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Cheah turut menerajui kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang sama-sama turut membantu misi mereka. “Melalui kerjasama ini yang kami namakan Talian Kembara, pelbagai NGO akan berkongsi maklumat mengenai rakyat yang memerlukan selain kami turut berkongsi sumber yang kami terima,” katanya.

Yee sang halal untuk penerima sumbangan yang beragama Islam

Cheah dan isteri, Yilyn Chan berpendapat dengan kerjasama yang baik antara NGO dan agensi kerajaan, lebih ramai lagi yang dapat dibantu.

Sempena perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, Kembara Kitchen menyediakan hampir 700 set makanan termasuk untuk petugas barisan hadapan.

“Kami menyediakan menu yang biasanya disajikan ketika ‘makan besar’ tetapi diubah kepada masakan halal yang disediakan oleh chef dan petugas kami yang beragama Islam bagi memastikan semua penerima kami dapat menikmati,” katanya.

Antara menu yang disediakan ialah itik panggang, ayam panggang, yee sang sayuran dan Reunion Dinner Platter yang amat menyelerakan.  Antara penerima set makanan ini ialah petugas di hospital, balai bomba, balai polis dan rumah kebajikan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

90  −  87  =