Dua kes Omicron dikesan di negeri ini

 Dua kes Omicron dikesan di negeri ini

R. Vidyananthan

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesan dua kes Omicron dalam kalangan jemaah umrah yang tiba dari Arab Saudi, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kedua-dua kes tersebut merupakan pasangan suami isteri yang telah pergi menunaikan umrah pada 4 Disember lalu dan pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Disember lalu.

“Ujian Saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA yang dijalankan telah dikesan positif pada 18 Disember lalu. Kini kedua-duanya sedang menjalani isolasi di rumah di Johor Bahru.

“Kesemua kontak rapat kepada kedua-dua kes juga telah dikenal pasti dan telah diberikan arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, terdapat pertambahan sebanyak 49 kes baharu Omicron di Malaysia.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, sampel PCR tersebut kemudiannya telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan  (IMR) bagi menjalani proses jujukan genom dan keputusan kemudiannya didapati positif Omicron. 

Susulan perkembangan terbaharu ini, beliau mengingatkan agar semua rakyat Johor yang pulang dari luar negara,

khususnya selepas mengerjakan ibadah umrah untuk mematuhi arahan kuarantin wajib yang diberikan. 

“Sila terus kekal berada di dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain. 

“Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti,” ujarnya. 

Masyarakat turut diingatkan untuk sentiasa mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

JKNJ turut mengingatkan supaya meningkatkan pengudaraan ketika berada di dalam rumah dan bangunan bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19. 

“Sekiranya bergejala, dapatkan rawatan segera, jalani ujian pengesanan COVID-19 dengan segera dan kekal berada di rumah sehingga tiada gejala. 

“Sebaiknya, hadkan bilangan orang yang hadir 

menghadiri perkumpulan keluarga dan tempoh dipendekkan. Ahli keluarga yang tidak sihat dinasihatkan untuk tidak bercampur gaul 

dengan ahli keluarga yang sihat,” katanya. 

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  3