Dua kapal tangki ditahan ceroboh perairan negara

 Dua kapal tangki ditahan ceroboh perairan negara

Dua buah kapal ditahan oleh Maritim Malaysia Johor kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan negara, semalam

KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor terus meningkatkan pemantauan dan hasilnya dapat menahan dua kapal yang menceroboh perairan negara kerana bersauh tanpa kebenaran, semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua kapal tersebut ditahan pada kedudukan 11.5 batu nautika timur laut Tanjung Siang dan 8.3 batu nautika timur Tanjung Balau.

Menurutnya, dua kapal berkenaan ditahan antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang.

“Kapal pertama merupakan kapal tangki yang berdaftar dari Panama dikendalikan lima kru warga Indonesia dan Myanmar berumur antara 20 tahun hingga 38 tahun.

“Kapal kedua merupakan kapal kargo berdaftar di Cyprus, dikendalikan 20 kru warga Filipina dan Ukraine berumur antara 21 tahun hingga 49 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

Kapal serta kru ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  47  =  52