• Sunday, 20 June 2021, 11:25 am

Dua individu dikompaun berkunjung ke Tioman

 Dua individu dikompaun berkunjung ke Tioman

Oleh Mohd Fikri Mie

ROMPIN, 30 Mei – Alasan menghantar barang di Tioman digunakan dua individu untuk merentas negeri tanpa kebenaran dan akhirnya mereka menerima padah apabila masing-masing dikompaun RM1,500.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azahari Mukhtar berkata, dalam kejadian pada Rabu lalu lelaki berusia 30 dan wanita berusia 25 tahun itu ditahan ketika sampai di pulau peranginan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan kedua-dua individu berkenaan yang datang dari Kuala Lumpur memberi alasan datang ke pulau itu untuk menghantar barang.

“Berdasarkan pemeriksaan, mereka tidak mempunyai kebenaran untuk merentas negeri dan dikenakan kompaun serta diarahkan berpatah balik,” katanya selepas melakukan pemantauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kilometer 129 Jalan Rompin-Kuantan di sini, hari ini.

Azahari berkata, kedua-dua individu berkenaan dikenakan kompaun mengikut Seksyen 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit dan diarahkan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.

Kedua-dua individu yang masuk ke pulau berkenaan melalui Jeti Tanjung Gemok, di sini itu kemudiannya diarahkan balik semula.

“Kita akan terus memperketatkan kawalan di SJR dan melakukan pemantauan bagi memastikan tiada individu yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran polis,” katanya yang tidak akan berkompromi dengan pihak yang tidak mengikut peraturan.

Sementara itu, mengenai kawalan sempadan Johor di Tanjung Gemok yang hanya dipisahkan dengan Sungai Endau Azahari berkata, pemantauan di lakukan berterusan olah pasukan pemantau yang ditugaskan di situ.

Selain itu katanya, polis marin turut sama melakukan pemantauan di sepanjang sungai bagi memastikan tiada individu cuba merentas negeri dan melanggar peraturan ditetapkan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *