Dua ditahan cuba seludup rokok bernilai RM3.3 juta dirampas

 Dua ditahan cuba seludup rokok bernilai RM3.3 juta dirampas

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) bersama Zaiham (kiri) menunjukkan sebahagian rokok seludup bernilai RM3.3 juta yang dirampas.

BENTONG, 22 November 2021 – Lori ditinggalkan di lokasi tertentu kemudian kunci kenderaan terbabit dltinggalkan pada bahagian tayar, helah berkenaan digunakan sindiket penyeludupan rokok bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa.


Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam operasi terbaharu kelmarin polis berjaya merampas 333 kotak besar rokok disyaki tidak dibayar cukai kastam bernilai RM3.3 juta selepas menahan sebuah lori di Kilometer 55.2 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, di sini.


Katanya, dalam operasi berkenaan polis turut menahan pemandu lori berumur 43 tahun dan rakannya berusia 30 tahun yang memandu sebuah kereta serta menyita kedua-dua kenderaan berkenaan.


“Hasil soal siasat mendapati pemandu lori berkenaan mengambil upah mengambil lori berkenaan dari Kemaman, Terengganu dengan upah sebanyak RM1,500 dan suspek memberitahu lori tersebut akan ditinggalkan di deretan kedai di satu lokasi dengan kunci diletakkan di bahagian tayar.


“Pemandu lori berkenaan mendakwa tidak mengenali dalang dalam sindiket ini dan siasatan masih giat dilakukan yang mana kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 23 November ini,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong di sini, hari ini.


Hadir sama Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar. Mohd Yusri berkata, rampasan rokok bernilai RM3.3 juta ini merupakan rampasan terbesar rokok tidak berbayar cukai bagi polis kontinjen Pahang tahun ini dan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM3.5 juta.


Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 23 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.


Katanya berdasarkan rekod kedua-dua suspek didapati baru kali pertama menyeludup rokok dari Terengganu untuk dihantar ke Kuala Lumpur dan suspek yang merupakan penganggur dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.


“Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dan pihak polis sedang giat berusaha untuk mengesan pemilik lori berkenaan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *