Dua bom lama ditemukan dalam ladang sawit

 Dua bom lama ditemukan dalam ladang sawit

Antara bom lama ditemukan di ladang sawit di Kampung Ulu Sungai Johor, Ulu Tiram.

JOHOR BAHRU, 4 Sept — Seorang pemilik ladang sawit di Kampung Ulu Sungai Johor, Ulu Tiram, di sini terkejut apabila menjumpai dua butir bom lama ketika menjalankan kerja pembersihan ladang hari ini.

Polis Johor dalam laman Facebook memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan itu awal pagi tadi oleh pemilik ladang berkenaan.

Sebuah Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama UPB Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dihantar ke tempat kejadian.

Pasukan UPB turut mẹmbuat pemeriksaan di kawasan sekeliling bagi memastikan tidak ada bom lain ditemukan selain memastikan kawasan tersebut dalam keadaan selamat.

“Bom lama yang ditemui itu jenis Artillery Shell 85mm. Kira-kira jam 10.30 pagi, pasukan UPB telah menjalankan tindakan pemusnahan bom lama di lokasi kejadian.

“Tindakan pemusnahan in-situ telah dijalankan secara ‘high order’ menggunakan kaedah elektrik,” demikian menurut kenyataan itu.

Pemusnahan telah dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang kehilangan ke atas nyawa dan kerosakan harta benda.

Polis Johor ingin menyeru kepada orang ramai sekiranya menjumpai objek yang mencurigai atau dipercayai bom, sila lapor segera kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan lanjut.

Diingatkan juga supaya jangan diusik, dialih atau digerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *