Dua beranak rentung dalam kebakaran

 Dua beranak rentung dalam kebakaran

Oleh Nurman Nasyriq

TANGKAK, 29 Mac – Dua beranak rentung selepas terperangkap dalam satu kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Baru 1 di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, bapa, 52, dan anak lelakinya, 18, maut selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran itu.

Cubaan jiran yang cuba membantu memadamkan kebakaran tidak berhasil sebelum beliau menghubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Johor.

Seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, BBP Muar dan BBP Bukit Gambir dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasi dari BBP Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, mereka dibantu tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan utiliti Hilux.

“Kebakaran melibatkan dua rumah yang sudah dicantumkan menjadi sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 40 X 60 kaki.

“Kebakaran memusnahkan 80 peratus keseluruhan bangunan. Dilaporkan terdapat dua mangsa terperangkap dalam rumah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa ditemukan di bangunan tingkat atas dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan mangsa yang berusia 52 tahun kurang sihat.

Rafiah berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi tamat pada jam 1.58 petang.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

60  −  53  =