Dua anak Nor Aziah dibantu cari kerja

 Dua anak Nor Aziah dibantu cari kerja

Faridah (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada Nor Aziah di rumahnya di Kampung Kempas Baru, Johor Bahru hari ini. Foto WMY/Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 22 Jun — Dua anak dewasa keluarga 13 beranak yang kesempitan hidup akibat terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal ditawarkan pekerjaan di sebuah pasar raya di sini.

Presiden Pertubuhan Permata Baiduri, Faridah Hamzah

Usaha mendapatkan pekerjaan untuk dua beradik terbabit dilakukan oleh Presiden Pertubuhan Permata Baiduri, Faridah Hamzah setelah nasib keluarga Nor Aziah Anuar mendapat bantuan mereka baru-baru ini.

Faridah berharap tawaran pekerjaan itu dapat meringankan beban keluarga terbabit yang tiada pendapatan tetap sejak pelaksanaan PKP tahun lalu.

“Kami telah menghubungi pengurus sebuah pasar raya dekat sini memohon untuk membantu anak keluarga Nor Aziah mendapat kerja.

“Pihak pasar raya itu setuju memberi pekerjaan untuk dua orang anak Nor Aziah dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Wacana.my baru-baru ini melaporkan sebuah keluarga 13 beranak kini kesempitan hidup sejak PKP dilaksanakan ekoran bapa mereka hilang pekerjaan dan sukar mendapat pekerjaan tetap sebagai juruelektrik.

Ekoran susah mendapat pekerjaan, bapa kepada 11 orang anak itu, Ramizan Ramli, 40, terpaksa keluar memancing untuk menangkap ikan bagi mengisi perut anak-anak yang berusia empat bulan hingga 22 tahun.

Faridah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelbagai pihak yang sudi membantu dengan memberi pelbagai sumbangan barangan keperluan kepada keluarga terbabit.

“Selain membantu anak keluarga itu dapat pekerjaan, Permata turut memberi sumbangan joran dan RM1,000 untuk modal berniaga keluarga itu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga itu dan golongan memerlukan boleh memberi sumbangan ke akaun Maybank Permata bernombor 551128630934.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

56  −    =  54