DRB-HICOM catat pendapatan RM2.62 bilion suku kedua 2021

 DRB-HICOM catat pendapatan RM2.62 bilion suku kedua 2021

KUALA LUMPUR, 18 Ogos — DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) mencatatkan pendapatan RM2.62 bilion untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2021, meningkat 30.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021 pula, pendapatannya berjumlah RM6.13 bilion, meningkat 29.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam satu kenyataan semalam, DRB-HICOM berkata, kumpulan merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM279.53 juta bagi suku kedua 2021, manakala kerugian sebelum cukai bagi separuh pertama 2021 berjumlah RM243.22 juta.

Katanya, meskipun mengalami tekanan jualan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, pendapatan sektor automotif DRB-HICOM meningkat 52 peratus kepada RM4.35 bilion berbanding RM2.87 bilion pada separuh pertama 2020.

“Pencapaian ini sebahagian besarnya didorong prestasi jualan kenderaan oleh syarikat automotif nasional PROTON dan jenama kenderaan yang lain di dalam kumpulan, serta pendapatan dari syarikat pembuatan dan kejuruteraan seperti PHN Industry Sdn Bhd dan HICOM-Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd.

“Namun, tempoh PKP yang berpanjangan ini dijangka akan mempengaruhi jumlah penjualan tahunan kerana pusat-pusat pameran untuk PROTON, Honda, Mitsubishi, Volkswagen, Isuzu dan TATA masih kekal ditutup di beberapa buah negeri sekalipun 11 sektor ekonomi dibuka semula baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Kompleks Automotif HICOM di Pekan, Pahang mendapat kebenaran untuk beroperasi setelah negeri pantai timur itu memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN), namun vendor dan pembekal yang berpusat di Lembah Klang masih ditutup dan bekalan komponen kekal terhenti.

Bagi sektor perkhidmatan DRB-HICOM, pendapatan pada suku kedua 2021 menyusut sebanyak sembilan peratus dari tahun ke tahun kepada RM791.83 juta, didorong jumlah pendapatan yang lebih rendah dari Pos Malaysia.

Sumbangan yang lebih rendah dari projek pembangunan hartanahnya menyaksikan pendapatan sektor hartanah DRB-HICOM menyusut 28 peratus kepada RM54.91 juta berbanding RM78.90 juta dalam tempoh sama 2020.

Portfolio hartanah DRB-HICOM kini tidak termasuk sektor runcit dan hospitaliti berikutan urus niaga korporat yang telah diselesaikan pada Disember 2020 yang menyaksikan DRB-HICOM tidak lagi bersaing di dalam sub-sektor berkenaan.

Mengenai prospek bagi tahun kewangan semasa, konglomerat itu tetap berhati-hati dengan prestasi kewangannya untuk tahun berakhir 31 Disember 2021 dengan mengambil kira ketidakpastian yang meningkat di sebalik impak ekonomi yang sepenuhnya dari

pandemik COVID-19 yang berpanjangan.

Bagi baki tahun 2021, DRB-HICOM berkata, kumpulan itu sedang mengambil langkah yang diperlukan untuk membentuk semula perniagaannya agar ia kekal kompetitif dalam persekitaran yang tidak dapat diramalkan.

Katanya, keputusan kerajaan untuk melanjutkan pengecualian cukai penjualan bagi kenderaan penumpang sehingga 31 Disember 2021 dijangka akan meningkatkan permintaan secara keseluruhannya pada 2021.

“Perniagaan DRB-HICOM yang lain dalam segmen pertahanan, aeroangkasa, perbankan, perkhidmatan dan hartanah akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan tunai yang berhemah bagi memastikannya dapat terus bertahan di sebalik landskap perniagaan yang mencabar disebabkan pandemik ini,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *