Dr Suhaini Tokoh Perdana Maulidur Rasul 2021

 Dr Suhaini Tokoh Perdana Maulidur Rasul 2021

Dr Suhaini.

KUALA LUMPUR, 20 Okt  — Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M kepada Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Datuk Dr Suhaini Kadiman.

Penganugerahan itu disampaikan kepada beliau yang juga Ketua Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi Institut Jantung Negara (IJN) di Istana Negara, hari ini.

Dr Suhaini, 52, anak kelahiran Batu Pahat, Johor ketika ditemui selepas majlis itu berkata sebagai profesional perubatan, hasrat beliau adalah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

“Walaupun cabaran COVID-19 sejak kebelakangan ini begitu menguji kesabaran dan kesungguhan kami sebagai petugas barisan hadapan namun dengan sokongan masyarakat dan semua pihak kita dapat atasi cabaran ini,” katanya yang berkhidmat selama 21 tahun di IJN.

Bagi aspek PAPISMA pula, Dr Suhaini berkata selain menggerakkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, pertubuhan itu juga membantu Keluarga Malaysia dari sudut psikososial serta kesihatan mental dalam fasa pemulihan negara.

Selain beliau, enam individu dikurniakan Anugerah Maulidur Rasul iaitu bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dan bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Datin Dr Paizah Ismail.

Turut menerima anugerah itu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah Syeikh Zakaria Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH Sarawak Alwi Morshidi.

Penerima Anugerah Maulidur Rasul lain ialah Pengasas Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd Ali Hassan Mohd Hassan, Pengasas dan Pengarah Pertubuhan Kebajikan Pondok Spiritual OKU Muslim (PONDOKU) Mohd Zaini Mat Abas serta bekas penyelia Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Tawau Sabah Mohd Amin Nasir.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad. – BERNAMA

Esme Johari Wahab

http://wacana.my

esme.johari@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *