Doktrin Barat ancam keutuhan Perlembagaan

 Doktrin Barat ancam keutuhan Perlembagaan
Oleh Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz

 

MALAYSIA, negara merdeka dan berdaulat mempunyai kekukuhan asas kenegaraan sebagaimana dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu dokumen asas yang mempunyai nilai dan sejarah kepada penubuhan, pembinaan dan aspirasi negara. Justeru, Perlembagaan seharusnya bukan sahaja menjadi kebanggaan, tetapi juga rujukan utama dan wajib dipertahankan.

Perlembagaan Persekutuan perlu dikekalkan keutuhannya kerana ia adalah ruh dan semangat bangsa dan telah diserasikan dengan hasrat dan matlamat sebuah negara bangsa. Matlamat Malaysia, sebagai sebuah negara bangsa dapat juga dibantu kefahamannya dengan merujuk kepada dokumen yang membentuk falsafah atau ideologi negara iaitu Rukun Negara.


Persoalan yang saya cuba kongsi dan mencari jawapan di sini ialah sejauh manakah undang-undang tertinggi negara ini, iaitu Perlembagaan Persekutuan dapat dijamin keutuhannya sekali gus menjamin keutuhan kemakmuran negara dari segi sosial, politik dan ekonominya?


Rukun Negara sebagai Falsafah Negara

Rukun Negara secara ringkasnya menjelmakan Malaysia sebagai sebuah negara yang mahu mencapai suatu perpaduan dalam kalangan masyarakatnya; membina hidup bernegara yang demokratik; mengamalkan keadilan; menerima perbezaan agama dan budaya; serta bersifat progresif dalam mendepani era digital dan teknologi. Matlamat ini disandarkan kepada nilai bumi tanah air ini, iaitu meletakkan kepercayaan kepada Tuhan, menumpahkan taat setia kepada Raja dan negara, mengangkat keluhuran Perlembagaan, mendaulatkan undang-undang serta mengekalkan nilai kesopanan dan kesusilaan dalam kalangan masyarakatnya tidak mengira bangsa, komuniti mahupun kedudukan sosial.

Walaupun begitu hasratnya, namun saya percaya, jaminan keutuhan Perlembagaan Persekutuan itu masih lagi mempunyai cabarannya. Oleh itu, persoalan yang saya cuba kongsi dan mencari jawapan di sini ialah sejauh manakah undang-undang tertinggi negara ini, iaitu Perlembagaan Persekutuan dapat dijamin keutuhannya sekali gus menjamin keutuhan kemakmuran negara dari segi sosial, politik dan ekonominya?

 

Perlembagaan Persekutuan sebagai Pasak Nilai Warisan

Keutuhan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri yang membentuk Persekutuan adalah landasan utama kemakmuran negara. Perlembagaan Persekutuan berpasak kepada nilai-nilai tradisi dan warisan seperti kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi dan Bahasa kebangsaan, kedudukan dan peranan institusi beraja serta kedudukan bangsa Melayu yang sekian lama bukan sahaja identiti negara, tetapi juga menjadi rukun pembentukan dan pembinaan tanah air ibu pertiwi ini.

Perlembagaan Persekutuan juga dibentuk dengan semangat perpaduan serta pengorbanan – pengorbanan dibuat oleh bangsa Melayu demi perpaduan antara mereka dan cucu-cicitnya nanti bersama mereka yang bukan sahaja disantuni, tetapi diberikan tempat dan hak dengan anugerah kewarganegaraan. Seterusnya pengorbanan bangsa ini demi mengecap nikmat kemerdekaan.

Mengambil dua perkara pokok di atas, Perlembagaan Persekutuan telah diukir oleh nenek moyang pejuang kemerdekaan dengan mengimbangi keadaan sosial, ekonomi dan politik. Mengurangkan jurang antara bangsa Melayu serta masyarakat pribumi dengan mereka yang lain, yang dikenali dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai komuniti lain. Komunit lain  ini diberikan, bahkan dijamin kepentingan mereka yang sah dan dikekalkan kepada orang Melayu dan masyarakat pribumi dengan ‘special position’ yang boleh diterjemahkan sebagai ‘kedudukan khas’ atau ‘kedudukan istimewa’.

 

Cabaran Utama; Kuasa Demokrasi dan Orde Baru Dunia

Perkara paling menakutkan ialah kuasa demokrasi, melalui pimpinan yang dipilih rakyat sendiri, mampu menyerang matlamat dan prinsip dan nilai bernegara. Demokrasi yang berpaksikan kepada nilai yang dipegang oleh pemimpin itu tentunya berupaya mencairkan dan menenggelamkan segala nilai budaya, ketulenan, keaslian serta kemurnian Perlembagaan Persekutuan.

Kenapa saya menyatakan keadaan ini adalah perkara yang paling menakutkan? Ini kerana barisan pemimpin demokrasi itu dipilih sendiri oleh kita, dan orang yang kita pilih itu sendiri yang seterusnya menghakis dan meruntuhkan keutuhan Perlembagaan yang kita junjung keluhurannya dan kita tatang nilai aslinya melalui konsep yang dianggap moden dan sejagat.

Perkara kedua yang mendatangkan kekhuatiran kita ialah perubahan zaman yang sekali gus memberi kesan kepada pemikiran dan jati diri masyarakat. Perubahan zaman dan pemikiran masyarakat – masa dan massa – ini tidak dapat kita elak. Ia adalah lumrah alam atau suatu kelaziman. Kita pastinya tidak mempunyai kekuatan untuk menyanggahinya. Contoh, sebagai sebuah negara yang sebenarnya sebuah kampung dalam masyarakat dunia, kita amat terkesan dengan kemajuan dunia dana aspek digital dan teknologi.

Jelas sekali pada ketika ini pembangunan digital dan era keakuan atau egoisme sedang melonjak-lonjak dalam kalangan masyarakat dunia. Mereka memerangi antara satu sama lain, sama ada secara fizikal atau secara maya atau menerusi mata wang.

Orde baru dunia, yang lebih terjalin dengan Barat misalnya sering dianggap sebagai amalan sejagat. Kesannya amat ketara ke atas negara di dunia, termasuk Malaysia. Orde itu sering kali dipaksa, sama ada secara langsung atau secara tidak langsung ke atas negara lain, termasuk negara kita. Kita masih ingat kepada Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) sebelum ini. Kita masih ingat tentang International Covenant on Elimination of Racial Discrimination (ICERD) dan Rome Statute.

Promosi dan pelobian kepada orde Barat itu dilakukan dengan pelbagai mekanisme. Melalui promosi dan pelobian itu, orde Barat sering kali secara disedari atau tidak disedari, meresap dan mendapat tempat dalam negara di serata dunia. Ia adakalnya menjadi racun kepada nilai warisan yang ada dalam Perlembagaan negara kita.

Pendek kata, apa juga yang berlaku di ruang sejagat itu sudah tentu akan memberikan kesan ke atas kita yang telah menjadi sebuah kampung kecil dalam peta dunia.

Bukan sahaja memberi kesan ke atas negara sebagai sebuah kumpulan masyarakat,  promosi dan pelobian orde barat itu telah memberi kesan ke atas individu. Apatah lagi dalam keadaan semasa. Perhubungan antara masyarakat dunia bukan lagi G to G, tetapi individi kepada individu.

Perkembangan teknologi maklumat membolehkan kesan tersebut berlaku dengan pantas. Sebaran maklumat, untuk tujuan mempromosi atau melobi orde Barat boleh berlaku ke seluruh dunia hanya dalam masa sesaat, atau kurang daripada itu dan ia boleh berfokus kepada individu secara spesifik. Ini membolehkan maklumat dari ruang sejagat itu disebar dengan pantas, meluas dan berkesan. Kepercayaan kepada ideologi hak asasi boleh dijadikan contoh utama. Kesannya, kepercayaan kepada hak asasi orde Barat ini telah menghasilkan gelombang yang pantas dan ganas ke serata dunia. Dengan itu, doktrin hak asasi manusia telah berkembang dan merebak dengan meluas sehinggakan ia dianggap sebagai satu ‘ism’ atau ideologi oleh sesetengah pihak, termasuk cendikiawan atau pengkaji. Keadaan ini pastinya berupaya mencabar keutuhan matlamat asal dan nilai atau prinsip asas kepada Perlembagaan Persekutuan.

Melihat kepada dua cabaran utama yang saya huraikan itu, maka usaha mengekalkan identiti tradisi dan warisan yang ada dalam Perlembagaan dan pada masa sama memastikan kestabilan keselamatan negara dan menjaga perpaduan kaum demi keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara adalah antara cabaran utama yang sedang didepani oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dalam menghadapi cabaran ini, kita tidak punya banyak pilihan. Antara pilihan utama ialah mempunyai pemimpin, termasuk ahli Majlis Parlimen yang memahami sejarah dan dan aspirasi negara semasa negara ini mula dibentuk sejak lebih 60 tahun lalu. Pemimpin politik yang dipilih bagi menentukan hala tuju negara perlu mengekal dan menambahkan lagi keutuhan Perlembagaan negara. Mereka hendaklah bersatu hati dan berpadu usaha dalam memastikan dokumen asas negara yang meletakkan prinsip kenegaraan hendaklah sentiasa dipertahankan.

Sehubungan itu juga, pemimpin hendaklah memastikan segala perkara yang diusahakan hendaklah menepati prinsip asas Perlembagaan. Dasar yang diusahakan oleh kerajaan hendaklah menjadikan prinsip asas Perlembagaan sebagai rujukan utama. Usaha dan dasar tersebut hendaklah dipastikan agar tidak ‘memandulkan’ peruntukan Perlembagaan atau hanya menjadikan Perlembagaan sebagai perhiasan yang tiada nilai.

Penulis ialah Penyandang Kursi, Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM.

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  4  =