Doktor berstatus kontrak berkumpul di lobi Hospital Shah Alam

 Doktor berstatus kontrak berkumpul di lobi Hospital Shah Alam

SHAH ALAM 26 Jul – Dr Omar Izmir, dari Jabatan Pembedahan Hospital Shah Alam telah lima bertahun berkhidmat sebagai pegawai perubatan kontrak. WMY/Suraya Ali

SHAH ALAM, 26 Jul — Lebih 20 orang pegawai perubatan berstatus kontrak berkumpul di lobi Hospital Shah Alam di sini bagi menyuarakan protes terhadap sistem penjawatan mereka.

Mereka antara ribuan doktor dari pelbagai bidang perubatan di seluruh negara yang menggesa kerajaan menawarkan penjawatan tetap kepada mereka berbanding status kontrak.

Dr Omar Izmir dari Jabatan Pembedahan Hospital Shah Alam berkata, beliau sudah lima tahun berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pegawai perubatan berstatus kontrak.

“Pelbagai kejadian kecemasan telah saya lalui seperti pencemaran kimia di Sungai Kim Kim di Johor yang kita semua tahu ramai mangsa ketika itu, dan kini sejak Perintah Kawalan Pergerakan pertama pada Mac 2019 akibat pandemik COVID-19 sehingga kini saya masih setia berkhidmat demi negara,” katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, apa yang mengecewakan adalah bagaimana beliau merasakan seolah-olah kerajaan tidak menghargai petugas yang senasib dengannya.

“Lebih 4,000 pegawai perubatan berstatus kontrak malah di Hospital Shah Alam ini hampir separuh doktor di sini berstatus kontrak, jika kami semua menghentikan tugas kami apa nasib rakyat dan negara nanti,” katanya.

Selain Dr Omar, seorang lagi pegawai perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr As berkata, beliau runsing memikirkan masa depan dan hala tuju kerjayanya.

“Kami tidak dapat melanjutkan pelajaran untuk mendapat pengiktirafan sebagai pakar, malah ada juga pegawai perubatan yang mempunyai ijazah sarjana yang masih berstatus kontrak,” katanya.

Menurut Dr As, apa yang disuarakan pihaknya dan rakan seperjuangan yang lain bukanlah mengejar wang semata-mata.

“Kami mahu kestabilan dalam kerjaya, masa depan kami. Perkara ini sudah lama berlarutan dan kami faham sekarang negara sedang dilanda wabak COVID-19, kami tidak merancang untuk meninggalkan KKM dan pesakit-pesakit kami, kami cuma mahukan keadilan, sedikit penghargaan,” katanya.

Sementara itu, pesakit yang ditemui di pekarangan Hospital Shah Alam memberitahu Wacana.my mereka memahami keadaan doktor dan bersimpati dengan nasib mereka.

Rahmah Abdullah, 45, berkata, dia tidak marah kepada doktor yang meninggalkan tugas sebentar demi menyuarakan hasrat mereka.

“Dengarlah rintihan mereka, kasihanilah mereka, hargailah mereka, saya harap perkara ini dapat diselesaikan sebaik mungkin untuk kepentingan semua,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  6  =