Doa khusus mohon perlindungan Allah dari musibah, fitnah & wabak

 Doa khusus mohon perlindungan Allah dari musibah, fitnah & wabak

Oleh YB Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Haji Ahmad Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan 

SEJAK pandemik COVID-19 melanda dunia, wabak ini seakan-akan berterusan membelenggu masyarakat walaupun vaksin yang dikatakan boleh menghapuskan virus ini telah diperolehi. Susulan itu, masyarakat dididik dengan pengamalan norma baharu bagi menghalang penularan wabak ini. Di samping mematuhi langkah-langkah pencegahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, umat Islam disaran untuk berikhtiar melalui doa dan amalan-amalan harian.

Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah ayat 153, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh Allah berserta orang-orang bersabar.”

Firman Allah swt dalam Surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Antara doa-doa yang diamalkan oleh Rasulullah bersandarkan kepada hadis, Rasulullah SAW  bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa melihat seorang tertimpa bala, kemudian dia berdoa… “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan aku dari apa yang Dia timpakan kepadamu (berupa penyakit), dan (segala puji baginya) yang telah melebihkan aku atas hamba-hambaNya.” Siapa membaca doa ini, nescaya dia akan diselamatkan dari bala itu selama dia hidup.

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung diri padamu daripada (penyakit) gila, kusta, penyakit kulit dan segala penyakit yang buruk (berbahaya).”

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca.. “Dengan nama Allah yang dengan namaNya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barang siapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).”

Daripada Abu Hurairah RA berkata yang bermaksud: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi SAW bersabda: Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu “Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudaratkan kamu.”

Daripada Ibn Umar RA, yang bermaksud, Nabi SAW tidak pernah meninggalkan doa tersebut ketika petang dan pagi iaitu: “Ya Allah aku memohon kepada-Mu keselamatan di dunia dan akhirat.”

Di samping doa yang warid daripada Nabi, kita juga boleh mengamalkan doa-doa:

Ya Allah! Wahai Tuhan kami jauhilah kami daripada wabak yang datang ini dan peliharalah kami daripada segala kejahatan yang merosakkan serta selamatkanlah kami daripada segala fitnah dan penyakit taun serta segala bala’ yang datang. (Mufti NS).

Ya Allah, kalau ada wabak dalam negeri kami, Engkau hancurkan, kalau ia dalam masyarakat kami, Engkau musnahkan, kalau ia dalam keluarga kami, Engkau hindarkan, kalau ia dalam diri kami, engkau lontarkan. (Mufti Terengganu)

Di samping berdoa, umat Islam juga disarankan untuk sentiasa solat hajat dan melazimi qunut nazilah agar wabak ini dapat terhapus. Doa qunut nazilah hendaklah dibacakan ketika menunaikan solat fardu iaitu doa untuk menghindari wabak dan penyakit. Kita juga disarankan untuk mengamalkan selawat ke atas Rasulullah SAW. Antara selawat yang disarankan adalah selawat syifa’ dan selawat tafrijiah.

Selawat syifa’ yang bermaksud: “Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad SAW yang menyembuhkan hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya.”

Selawat Tafrijiyyah yang bermaksud: “Ya Allah,  berilah restu dan kesejahteraan yang sempurna kepada junjungan kami, Nabi Muhammad, semoga terurai segala kesimpulan. Dilepaskan dari segala kesusahan. Ditunaikan segala hajat. Tercapai segala keinginan. Dan mendapat Husnul Khotimah. Dan dicurahkan hujan rahmat. Dengan berkat peribadinya yang mulia. Demikian juga kepada  keluarga dan sahabat-sahabat Baginda pada setiap kelipan mata dan hembusan nafas, bahkan sebanyak pengetahuan Engkau.”

Selain melaksanakan langkah-langkah pencegahan, doa dan amalan yang diamalkan dapat menguatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Kelebihan amalan harian ini juga dapat membantu jiwa Muslim untuk kekal tenang dan sentiasa mengharapkan kebergantungan kita kepada Allah SWT.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

27  −  26  =