• Sunday, 20 June 2021, 3:39 pm

DMJ syor laksana PKP menyeluruh di Johor

 DMJ syor laksana PKP menyeluruh di Johor
Oleh Nurman Nasyriq
JOHOR BAHRU – Ekoran penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan, Dewan Muda Johor (DMJ) mengesyorkan kerajaan negeri mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh di Johor.
Penguatkuasaan PKP menyeluruh atau ‘total lockdown’ amat perlu bagi membendung dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19 yang semakin meningkat di Johor sejak kebelakangan ini.
DMJ turut mencadangkan kepada kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Ir.  Hasni Mohammad supaya mendesak kerajaan Persekutuan menyegerakan bekalan vaksin untuk rakyat Johor.
Sekiranya PKP menyeluruh dilaksanakan, suatu pakej bantuan khas dan moratorium  secara automatik perlu diberikan kepada rakyat bagi tempoh yang bersesuaian.
“PKP yang menyeluruh atau ‘total lockdown’ tersebut perlu diimbangi dengan satu pakej bantuan khas seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan moratorium secara automatik untuk satu tempoh yang bersesuaian,” demikian menurut DMJ dalam satu kenyataan, hari ini.
Syor serta cadangan itu telah disampaikan kepada Menteri Besar Johor menerusi surat rasmi kepada Pejabat Menteri Besar Johor pada hari ini.
DMJ turut meminta kerajaan negeri membantu rakyat dan golongan yang terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0 khususnya bantuan yang telah diluluskan dalam Belanjawan Johor 2021 terutamanya di bawah agenda Johor Berkebajikan perlu disegerakan.
DMJ turut meminta kerajaan negeri segera melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara menyeluruh di seluruh negeri bagi mengesan penularan virus maut itu.
“Kerajaan negeri perlu menasihati YAB Perdana Menteri untuk segera menamatkan Proklamasi Darurat agar institusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat bersidang dan sistem demokrasi negara dapat dikembalikan.
“DMJ berharap agar syor dan cadangan ini akan diperhalusi oleh kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *