Dilarang duduki peperiksaan, pelajar buat laporan polis

 Dilarang duduki peperiksaan, pelajar buat laporan polis

Datuk Nadzim Johan hadir di IPD Brickfields untuk membuat laporan polis susulan aduan seorang pelajar perubatan sebuah Universiti perubatan terkemuka tempatan yang tidak dibenarkan mengambil peperiksaan klinikal kerana belum mendapatkan vaksin COVID-19.

KUALA LUMPUR, 14 Jun —  Seorang pelajar perubatan di sebuah universiti tempatan mendakwa dilarang menduduki peperiksaan kelayakan kerana belum mendapatkan vaksin COVID-19.

Nik Farah Ellisha Mohd Razif bersama laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sebentar tadi.

Dakwa Nik Farah Ellisha Mohd Razif, 22 beliau sudah memaklumkan kepada pihak universiti beliau tidak mahu mendapatkan vaksin tersebut.

“Namun akibat didesak pihak universiti, akhirnya saya setuju mendapatkan vaksin jenama pilihan saya dan memaklumkan kepada pihak universiti pada April lalu,” katanya.

Menurut Nik Farah pihak universiti memberitahu akan memberikan tarikh temujanji kepadanya bagi mendapatkan vaksin.

“Sehingga pada hari peperiksaan pada 8 dan 9 Jun lepas, saya tidak mendapat tarikh temujanji untuk vaksinasi dan ketika saya hadir untuk menduduki peperiksaan penting tersebut, pihak universiti telah melarang dan meminta saya meninggalkan dewan,” katanya.

Tambah Nik Farah beliau telah memohon untuk menduduki peperiksaan tersebut secara berasingan namun permohonanya ditolak.

Nik Farah hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields diiringi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Sehubungan itu, PPIM mendesak satu siasatan yang lengkap dan menyeluruh dijalankan.

“Pelajar ini merupakan pelajar perubatan, dia faham kepentingan serta kebaikan dan keburukan vaksin, jadi ketika beliau menolak pengambilan vaksin, beliau faham risikonya,” katanya.

PPIM dimaklumkan pelajar tersebut menunggu vaksin pilihannya dan sehingga kini masih belum mendapatkan tarikh temujanji dan tidak menolak vaksinasi.

Menurut Nadzim pihak universiti tidak sepatutnya memaksa pelajar sebaliknya mendidik mereka dan menjelaskan dengan baik.

“Mengapa sehingga menyusahkan pelajar, mereka ini masa depan negara, beliau boleh menyumbang kepada negara di masa depan,” katanya.

Tindakan universiti menyekat peperiksaan pelajar dengan alasan tidak mendapatkan vaksin adalah tidak masuk akal.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *