Dikir pandemik#2: Orang Melayu boleh bersatu?

 Dikir pandemik#2: Orang Melayu boleh bersatu?
Oleh Rizal Jaapar
SEKALI  baca ramai yang tersenyum sinis. Tajuk di atas persis sebuah paradoks kerana gabungan perkataan ‘Melayu’ dan ‘bersatu’ dalam satu ayat agak kurang siuman bunyinya.
Senang cerita, punyalah absurd tajuk di atas kerana kita sendiri yakin Melayu adalah bangsa paling berpecah-belah di dunia, sebagaimana terpecah-pecahnya ‘archipelago Melayu-Nusantara’ menjadi puluhan ribu pulau.  Walaupun diaspora Melayu mendiami hampir dua-pertiga bumi dari kepulauan Madagascar hinggalah ke kepulauan Hawaii, kehebatan rumpun Melayu sebagaimana yang pernah digambarkan oleh Ibnu Batutah, Marco Polo, Tom Pires dan Magellan tidak kelihatan; sehingga kita sendiri naik hairan bagaimana leluhur kita dahulu hebat sangat sedangkan kita sekarang ‘cokia’ sahaja.
Kumpulan-kumpulan ‘splinter’ Melayu banyaknya tak terkira, tetapi 99.999% sama sahaja DNA mereka. Mahu satukan Melayu, tetapi di akhir episod mesti berpecah seribu. Melihat keadaan umat pada hari ini kita pasrah bahawa menyatukan Melayu itu sesuatu yang mustahil. Semakin kuat jeritan “Bersatulah Melayu”, maka semakin bertempiaranlah mereka ke sana-sini, laksana syaitan yang lari tak cukup tanah tatkala mendengar azan.
Sehingga kini juga, tidak ada satupun gagasan yang dapat menyatukan Melayu. Jika dahulu beberapa perkara asas seperti bahasa, kedudukan bangsa Melayu,  agama, tanah dan kedaulatan raja tidak berani langsung dipertikai oleh sesiapa. Pantang diusik, bersingsing lenganlah kita. Tetapi hari ini jangankan isu pokok, isu-isu renyah pun boleh dicaci-maki secara terbuka bukan sahaja oleh bukan Melayu-bukan Islam tetapi daripada kalangan Melayu-Islam sendiri. Persoalan seksualiti, khitan wanita, nikah-cerai, murtad, bidang kuasa mahkamah syariah, pemakaian songkok, menutup aurat, membina surau dan masjid, keperluan azan serta meletakkan bin dan agama anutan pada kad pengenalan itu tidak pernah sunyi daripada kritikan dan momokan sehingga kita sendiri jadi letih untuk bertengkar, dan hanya mampu membantah dalam hati.
Kita saling tak tumpah samalah seperti kaum Arab jahiliah yang gemar bergocoh dahulu. Masing-masing taksub mempertahankan kabilah mereka sehingga sanggup berpanah dan berpedang sesama sendiri. Keadaan ini membolehkan golongan pendatang Yahudi mengambil kesempatan dan menguasai sumber ekonomi strategik di samping mempengaruhi politik setempat.
Simbolik kepada perpecahan ini diceritakan dalam sejarah apabila seorang anak muda bernama Muhammad yang masih belum menerima wahyu kerasulan; menunjuk jalan penyatuan yang cukup mudah. Beliau hanya menghampar sebidang kain di atas tanah, lantas meminta orang kaya berempat Mekah memegang setiap bucu kain dan mengusung kain berisi serpihan batu Hajar-al-Aswad ke dinding Kaabah, lalu Muhammad meletakkan kembali batu keramat ke tempatnya yang asal.
Siapa gerangannya Muhammad sehingga arahan beliau dituruti tanpa banyak soal? Adakah dia tycoon Arab atau seorang ahli sihir yang pandai memukau? Kabilah Arab dapat menerima cadangan Muhammad yang ‘bukan siapa-siapa’ kerana reputasinya sebagai seorang lelaki yang jujur dan amanah; suatu ciri yang sudah hilang daripada identiti masyarakat Arab pada waktu itu. Kita yakin jika solusi ini dicadangkan oleh pemuka Makkah selain Muhammad, sudah tentu pimpinan Makkah akan membantah.
Nabi Muhammad SAW selepas menerima wahyu kenabian memperincikan formula kesatuan ummah yang telah diwarisi daripada para nabi terdahulu berdasarkan SOP terus dari Tuhan, yang dipanggil al-Quran.
Apa saranan pertama al-Quran? Baca.
Di rantau sebelah sini, bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan di pelabuhan Melaka bukan kerana ia bahasa rasmi, atau digubal menjadi undang-undang panel yang memaksa pedagang membelit lidah menyebut “Tuan Hamba” setiap kali berlabuh di Melaka. Bahasa Melayu bukan sahaja popular di Melaka tetapi digunakan di seluruh pelusuk Nusantara. Kita yakin bahasa Melayu itu dipertuturkan sebegitu meluas kerana mengagumi bangsa penuturnya yang berbudi, beradab dan bersopan-santun. Pedagang yang kembali ke negeri asal mereka sedikit sebanyak akan terikut-ikut dan memperkenalkan pula perkataan, gurindam dan seloka yang barangkali diterjemah pula ke bahasa ibunda masing-masing.
Bahasa sememangnya melambangkan ketinggian sesebuah bangsa. Pada ketika itu, bahasalah yang menyatukan Melayu. Tidak dinafikan Islam melalui sumbangan penulisan serta dakwahnya amat mempengaruhi dan berjaya mempercepat penyatuan rumpun Melayu menjadi kuasa ekonomi serta maritim yang dahsyat di Nusantara.
Sejarah juga membuktikan agama dan bahasa bukanlah satu-satunya faktor penyatuan bangsa. Adolf Hitler pernah menyatukan rakyat Jerman dengan memuliakan ketulenan darah Aryan mereka. Genghiz Khan menyatukan bangsa China dengan menjanjikan kekayaan dari Barat.  Eropah disatukan dengan perlumbaan mencari Tuhan, Emas dan Kemasyhuran (God, Gold, Glory) sekali gus memindahkan lebuh raya ekonomi Timur-Barat dari padang pasir ke lautan.
Perdana Menteri Malaysia Kedua, YAB Tun Abdul Razak hampir berjaya satukan orang Melayu yang miskin dan buta huruf. Apabila sudah mampu membaca, maka tersingkaplah tabir yang selama ratusan tahun menutup pandangan orang Melayu. Dasar Ekonomi Baharu (DEB) laksana Buku Merah yang menjanjikan kekayaan, ilmu dan ketuanan Melayu selagi mana ianya diikuti.
Berbeza dengan Hitler atau Genghiz yang membunuh lawan mereka, Tun Razak tidak memangsakan sesiapa. DEB tidak menutup peluang sesiapa untuk mencari kekayaan atau mengurangkan hak mereka sebagai warga negara. Tun Razak hanya mahu meletakkan Melayu pada tempatnya. Ini dibuktikan di akhir era DEB apabila kekayaan bukan Melayu masih jauh mengatasi kekayaan Melayu yang semakin meningkat.
Hari ini pemimpin Melayu berkelakuan sebaliknya. Ketuanan Melayu hanya gah pada sebutan, itu pun setahun sekali apabila mereka berhimpun. Menjerit-jerit meminta dipanggil Tuan sedangkan hampir segalanya sudah tergadai dek tangan mereka sendiri.  Maka tidak hairanlah formula menyatukan ummah tidak pernah dan tidak akan berjaya.
Jika kisah Muhammad dapat dijadikan tauladan maka ‘permata’ orang Melayu yang telah lama hilang mesti dikembalikan. Ketua-ketua kabilah Melayu harus berani dan ikhlas untuk duduk semeja dan mengakui mereka telah gagal.
Persoalannya siapakah dia al-Amin Melayu yang mampu diikuti oleh ketua-ketua kabilah semua? Pencarian masih berterusan, dan sehingga saat tersebut tiba maka slogan Melayu Bersatu akan terus kekal sebagai sebuah antinomi yang lucu dan mustahil.

Penulis adalah seorang aktivis masyarakat dan anggota pertubuhan pemikir Melayu. Hal ehwal negara bangsa sentiasa dalam radar beliau.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi wacana.my)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  17  =  27