Dikir pandemik – mengangkat ‘gig’ menjadi kuasa ekonomi Melayu

 Dikir pandemik – mengangkat ‘gig’ menjadi kuasa ekonomi Melayu
Oleh Rizal Jaapar

Memang ramai anak terlibat dalam aktiviti gig-ekonomi (atau ekonomi sementara) khususnya dalam perkhidmatan e-hailing dan penghantaran barangan serta makanan. Gig-ekonomi merupakan cabang terbaru kepada empat juta tenaga bekerja sendiri (the self employed) sedia ada. Mungkin kerana tidak mahu terikat dengan kekangan masa, tempat, atau peraturan tetapi sebaliknya dibayar atas kudrat, sektor ‘gig’ begitu popular bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, ‘gig’ menyumbang lebih 78% kepada pendapatan golongan bekerja sendiri berbanding 31% di negara kita.

Gig juga bukti ‘orang kita’ bukanlah pemalas atau memilih kerja kerana ramai anak-anak muda Melayu sanggup bekerja sehingga 16 jam setiap hari termasuk hari Sabtu dan Ahad. Keinginan untuk berdikari, bekerja dengan keringat dan tulang empat kerat sendiri, bekerja di barisan hadapan, dan kecenderungan merantau ini laksana kod genetik yang telah tertanam ke dalam DNA Melayu selama ratusan tahun. Jika disusun semula tidak mustahil barisan usahawan serta teknokrat Melayu Bumiputera yang lebih lasak dan berani akan muncul dari kalangan ratusan ribu pekerja gig di negara kita.

Oleh kerana kegiatan gig-ekonomi ini nampak serasi benar dengan jiwa generasi muda Melayu maka perhatian yang lebih serius wajar diberikan agar gig-ekonomi yang kebiasaannya bersifat sementara dapat diolah menjadi punca ekonomi yang lebih kekal dan stabil.

Agak malang juga apabila gig-ekonomi kita hanyalah sekadar terma hipster bagi menggambarkan sesuatu yang sementara dan murah dan dipandang remeh. Pekerja gig dieksploitasi banyak pihak dan seringkali menerima imej negatif seperti kaki rempit dan sebagainya.  Tidak ada pun usaha tersusun memastikan masa depan pekerja gig lebih menjamin. Tidak ada pelan peralihan untuk mengangkat ekonomi berasaskan gig kepada real economy. Ibarat atlit sukan yang keringatnya dikerah dan dipuja ketika bergelar jagoan sahaja, walhal mereka masih muda dan masih mampu menyumbang lebih lama jika diwujudkan peluang.

Orang kita memang rajin bekerja, punyai semangat dan budi bahasa tetapi mereka kurang disiplin dan kurang persediaan. Boleh dikatakan hampir 90% anak muda Melayu yang tamat sekolah dan mula memasuki alam pekerjaan tidak ada langsung ilmu kewangan, memiliki insuran hayat atau kesihatan, mengurus harta dan hutang, merancang untuk berkeluarga, menunaikan umrah dan haji pada usia muda, belajar bahasa kedua dan ketiga, dan ilmu berniaga yang sistematik.  Jika ada pun ianya dibuat secara suka-rela.

Sebagaimana kita wajib mencarum dengan KWSP, pendekatan untuk mendidik anak muda yang sudah mulai bekerja dengan ilmu “kehidupan” harus dibuat secara paksa-rela. Teknologi boleh digunakan bagi menyelia perkembangan mereka.

 

Pekerja gig dieksploitasi banyak pihak dan seringkali menerima imej negatif seperti kaki rempit dan sebagainya.  Tidak ada pun usaha tersusun memastikan masa depan pekerja gig lebih menjamin.
Tidak ada pelan peralihan untuk mengangkat ekonomi berasaskan gig kepada real economy.

 

826,100 warganegara Malaysia sekarang menganggur dan sudah tentu sebahagian besarnya dari kalangan Melayu. Statistik terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia ini sekali pandang mungkin biasa-biasa sahaja, tetapi makin ditenung makin hairan kita. Satu juta penganggur tempatan berbanding berjuta-juta warga asing yang ada kerja. Atau keuntungan berbilion oleh syarikat tempatan dan GLC pada setiap suku tahun serta nisbah gaji CEO dan pekerja bergaji minima sehingga 300 kali ganda.

Begitu juga dengan kenaikan kos sara hidup yang mencanak tinggi berbanding gaji (sebenarnya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak berpunca daripada kenaikan gaji pekerja pun, tetapi naik demi mengekalkan status quo dan menggembirakan pelabur dengan dividen dan bonus kencang).

Berbanding isu disiplin serta persediaan anak muda Melayu unutk bekerja atau berniaga, ada faktor lain yang lebih menggugat sebenarnya.

Kerajaan memang telah menyediakan perbagai pelan jangka-panjang bagi memperkasa ekonomi Bumiputera daripada era Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehinggalah kepada era WawasanKemakmuran Bersama 2030 (WKB2030). Namun, pelan yang baik tidak makna jika tidak dipraktikkan dengan baik, dan adalah tidak adil untuk meletakkan beban tersebut kepada kerajaan semata-mata.  Sektor swasta serta agensi berkaitan kerajaan harus lebih berperanan dengan meluaskan skop ekonomi gig dan mengangkatnya menjadi lebih lestari dan berdaya saing.

Bukan sedikit bilangan GLC dan syarikat swasta Bumiputera yang telah meraih manfaat daripada dasar afirmatif kerajaan. Mereka pada hari ini lebih daripada mampu untuk menyokong kegiatan ekonomi anak bangsa dan sememangnya telah berada dalam komuniti Bumiputera seperti pejabat pos, stesen minyak, kedai runcit, bank dan kedai pajak gadai. Sekiranya digabungkan sudah jadi satu kuasa ekonomi yang ampuh. Bahkan ada yang sudah menyertai kelab elit Fortune 500!

Itu belum mengambil kira balai-balai raya, surau dan masjid yang rata-rata cukup gerun menerima jemaah yang mahu beriktikaf apatah lagi mengadakan aktiviti ekonomi. Mungkin takut karpet mahal terkena air liur basi, takut tabung dicuri, takut bil air dan api naik. Masjid yang sama boleh pula membenarkan menara telekomunikasi dibina didalam kawasan mereka bagi mengutip sewa, kononnya mahu jana pendapatan.

GLC dan syarikat swasta Bumiputera yang telah berjaya juga rata-rata ibarat ulat lupakan daun masih membiarkan kerajaan terkulat-kulat mencari jalan membantu Melayu sedangkan mereka dahulu pun terkapai-kapai mencari tapak. Keuntungan berbilion ringgit mengalir entah kemana dan tidak diterjemah menjadi kekayaan ummah. Bahkan ada yang malu membantu Melayu, dan suara mereka lebih lantang mengatakan Melayu bangsa yang tidak akan berjaya.

Jika ada pun program-program membantu Bumiputera, ia bersifat malu-malu kucing, ibarat pahat dengan penukul dan buat kerana terpaksa. Lebih hodoh apabila melaksana program Bumiputera menyakau seperti mendapatkan projek khusus untuk Bumiputera, mendapat pelepasan cukai, atau menerima peruntukan melaksanakan inisiatif membantu Bumiputera. Bantuan yang diberi sangat superficial sifatnya, dan oleh kerana tiada roh untuk membantu maka hangat-hangat tahi ayamlah jadinya.

Terlalu banyak proses, lesen, permit dan dokumen yang diwujudkan sehingga ramai kecundang sebelum masuk ke medan perang lagi walhal isu pokok iaitu menjana pendapatan daripada perniagaan tidak terjawab. Jika proses tapisan tersebut dilepasi, produk-produk Bumiputera diletak diceruk-ceruk rak mengumpul habuk tetapi jenama antarabangsa bukan main lagi terpampang lebih besar daripada logo syarikat sendiri.

Sebenarnya tidak sukar bagi GLC dan entiti swasta membantu usahawan tempatan, khususnya peniaga serta usahawan Melayu dan Bumiputera.  Dengan kuasa eksekutif, dengan premis yang cukup besar dengan cawagan di seluruh pelusuk negara mereka sudah cukup upaya membantu tanpa mengenakan syarat ketat dan tanpa mengurangkan sedikit pun pun keuntungan mereka.  Yang penting adalah niat serta iltizam untuk benar-benar membantu sehingga berjaya.

Kaedahnya mungkin boleh saya kupas dalam edisi yang akan datang.

 

Penulis adalah seorang aktivis masyarakat dan anggota pertubuhan pemikir Melayu. Hal ehwal negara bangsa sentiasa dalam radar beliau.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi wacana.my)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

81  −    =  76