Dikir pandemik #3: Apa ertinya menjadi seorang polis?

 Dikir pandemik #3: Apa ertinya menjadi seorang polis?

Oleh Rizal Jaapar

Hari ini 25 Mac genaplah 214 tahun Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ditubuhkan. Organisasi polis bermula selepas Melaka diserah kepada British pada 1795 dengan tertubuhnya pasukan polis ala British yang pertama pada tahun 1807. Sebenarnya lebih 300 tahun sebelum itupun sudah ada pasukan pengawal keselamatan dan ketenteraman awam di dalam sistem pentadbiran kerajaan kesultanan Melayu Melaka, diketuai seorang bergelar Temenggung, yang hampir sama fungsinya dengan jawatan Ketua Polis Negara (KPN) sekarang.

Institusi kepolisian kebiasaannya merupakan agensi terawal mana-mana kerajaan di dunia, tidak terkecuali negara kita Malaysia. Jika tentera menjaga benteng pertahanan negara daripada diceroboh, polis memastikan undang-undang yang di dalam negeri dipatuhi agar keamanan dan keselamatan membolehkan negara membangun lebih subur, manakala keadilan dapat diberikan kepada mereka yang berhak.

Apapun PDRM memang tidak pernah sunyi daripada episod-episod sensasi yang bercanggah dengan identiti serta sifat mereka sebagai pengawal ketenteraman. Macam-macam cerita ‘pelik’ yang kita pernah dengar, bahkan pengalaman peribadi penulis tentang polis ini sedikit-sebanyak telah memberikan persepsi yang kurang enak walaupun secara umumnya imej PDRM masih baik, khususnya kecemerlangan mereka mengesan penjenayah.

Maka apabila seorang KPN mengeluarkan kenyataan umum tentang segelintir anggota pasukannya yang makar dan serong baru-baru ini, ia langsung tidak memeranjatkan. Bahkan timbul pula rasa kagum terhadap keberanian dan kesungguhan ketua polis ini melawan arus.  Ia berita baik untuk orang awam yang sudah terlalu lama merasakan seperti ada yang tidak kena dengan landskap kepolisian di Malaysia.  Mereka khuatir jika keamanan, keselamatan dan keadilan itu hanya untuk kelompok tertentu; atau lebih buruk lagi jika dikhususkan kepada orang-orang nakal.

Komentar KPN itu sewajarnya menjadi berita paling baik buat 130,000 anggota PDRM kerana mendapat pemimpin yang benar-benar dapat ditaati. Apa yang berlaku kepada PDRM sekarang  mengingatkan penulis kepada situasi hampir serupa yang pernah dialami oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa tahun lalu. Keberanian teraju utamanya mendedahkan kemungkaran telah mengundang kemarahan banyak pihak, sehingga ahkirnya organisasi SPRM terpaksa digoncang dan dirombak. Badan yang sebelum itu tidak pernah sunyi daripada kontroversi seolah-olah telah mendapat nafas dan semangat baharu. Natijahnya walaupun pemimpinan SPRM bertukar beberapa kali, imej serta kredibiliti mereka dimata orang ramai sudah berubah. Pada satu peringkat, permohonan untuk menjadi anggota SPRM bertambah dengan mendadak, dan orang ramai lebih percaya dan lebih rela melapor kepada SPRM hatta kejadian bukan rasuah sekalipun.

Sejujurnya penulis yakin bilangan anggota polis yang ‘makar dan serong’ ini tidaklah ramai. Hanya segelintir sahaja berbanding jauh lebih ramai lagi yang menyertai ketumbukan polis bukan kerana terpaksa, atau demi gaji yang tidak seberapa, atau demi kuasa yang sedikit tetapi untuk benar-benar berkhidmat. Untuk makluman, gaji permulaan seorang konstabel polis cuma RM1,014, lans koperal RM1,567, dan seorang sarjan pula hanya RM1,710. Bahkan gaji pokok seorang KPN hanya sekitar RM10,300 sahaja sebulan.

Tidak ramai yang akan sanggup melakukannya jika hanya berharap pada gaji dan sedikit keistimewaan jika tidak ada jati diri yang kuat, kerana cabaran serta godaan sebagai anggota keselamatan ini bukan sembarangan. Jika kita letakkan diri kita di tempat mereka, rasanya memang sudah lama hanyut atau mabuk dengan pelbagai tawaran duniawi oleh para pendokong makar dan serong ini.

Juga, bukan senang untuk terus menjadi dajal ketika masih mengenakan uniform biru, apatah lagi apabila di dada mereka tersemat logo PDRM yang tertera nama Allah dan nama Muhammad SAW. Terpampang pula takhta Duli Yang Maha Mulia serta keris, parang dan kepala harimau sebagai simbol kemuliaan dan kekuatan.

Ibarat tangan kiri menerima rasuah, tangan kanan memegang Al-Quran.

Ada anggota polis yang barangkali terpengaruh melihat abang-abang senior polis atau ketua mereka sendiri hidup senang-lenang dengan kemewahan. Bukan susah pun kerjanya hanya tutup mata dan mulut sahaja walau apa pun yang terjadi. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut kata orang kita.

Pada hari ini, bersekongkol dengan kemakaran dan keserongan itu sudah menjadi perkara normal, sebaliknya mendokong  kejujuran dan bersikap amanah itu telah menjadi sesuatu yang pelik dan harus ditentang. Mungkin itulah sebabnya mengapa KPN akhirnya terpaksa bersuara.

Rakyat sudah tentulah akan bersama kalian, dan pemimpin yang ditunggu-tunggu juga sudah tiba. Inilah peluang keemasan yang mesti direbut oleh seluruh anggota PDRM untuk merapatkan semula barisan, memperbetulkan iktikad dan berusaha untuk mengubah keadaan untuk mengembalikan normal kepada normal yang hakiki.

Kepada yang pernah terjebak dengan kemakaran dan keserongan, inilah juga peluangnya untuk berhenti “stone cold” tanpa perlu rasa takut-takut lagi. Mereka yang kelam-kabut, gelabah dan terkucil dengan kenyataan KPN itu besar kemungkinan para pendokong kemungkaran dan harus dijauhi.

Akhir kata buat anggota polis semua, mulai hari ini pakailah logo polis dan uniform anda dengan megah, junjunglah amanah yang telah diberikan Tuhan serta Junjungan SAW tanpa rasa takut. Bersyukurlah kerana ketika berdepan dugaan serta cubaan ini, anda dianugerahkan pemimpin yang berani untuk berubah, dan tidak akan sesekali tunduk kepada kemakaran dan keserongan.

Dengan tekad dan semangat baharu ini, maka berbaloilah juga gelaran polis atau anggota keselamatan yang diberikan, berbaloi dengan nyawa yang dicagarkan kerana balasannya adalah syurga yang kekal abadi.

Selamat menyambut Hari Polis ke-214!

 

Penulis adalah aktivis masyarakat dan anggota pertubuhan pemikir Melayu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi Wacana.my).

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

45  +    =  55