Dijel enam tahun guna wang palsu

 Dijel enam tahun guna wang palsu

Seorang pekerja binaan dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kluang hari ini atas pertuduhan menggunakan wang palsu untuk berbelanja, dua minggu lalu

KLUANG – Seorang pekerja binaan dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kluang, di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan wang palsu untuk berbelanja, dua minggu lalu.

Hakim, Mujib Saroji membuat hukuman itu selepas tertuduh, Lim Lai Kok, 53, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Lai Kok didakwa menggunakan wang kertas RM100 untuk membeli sebuah beg kulit berharga RM30 di sebuah kedai kasut di Taman Sri Tengah, Kluang pada jam 3.30 petang, 7 November lalu.

Pemilik kedai yang menyedari wang RM100 diberi adalah wang palsu kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan pemeriksaan lanjut mendapati tertuduh turut memiliki sekeping lagi wang kertas RM100.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan wang palsu RM100 untuk membeli dakwat mesin pencetak di Jalan Lambak, Kluang pada jam 1.24 petang, hari yang sama.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Dalam rayuannya, Lai Kok mendakwa terpaksa menggunakan wang palsu itu kerana terdesak ekoran ketiadaan wang untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya selain keadaan kesihatan yang tidak baik.

Hakim, kemudian memerintahkan tertuduh dihukum tiga tahun penjara bagi setiap pertuduhan dan hukuman berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *