Didikan agama, moral yang tidak berkesan sebab buli masih berlaku – Mufti P.Pinang

 Didikan agama, moral yang tidak berkesan sebab buli masih berlaku – Mufti P.Pinang

PULAU PINANG, 15 Dis — Kurikulum pendidikan agama dan moral yang digunakan di sekolah disifatkan sebagai tidak berkesan dalam membentuk akhlak pelajar yang baik, menjadi punca kejadian buli masih berlaku.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata kerana itu, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu berusaha ke arah meningkatkan pendidikan akhlak di sekolah termasuk aspek praktikal supaya ia menjadi alat yang berkesan dalam membentuk sahsiah pelajar.

“Buli di sekolah berasrama penuh akan berlaku dari semasa ke semasa dan perkara ini berkait dengan kurangnya nilai moral dan budi bahasa dalam kalangan segelintir pelajar.

“Justeru, semua pihak khususnya KPM perlu mencari penyelesaian dengan cepat dan yang lebih penting, menambah baik kurikulum pendidikan agama dan pengajian akhlak yang digunakan di sekolah kebangsaan dalam membentuk sahsiah pelajar,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa. 

Beliau mengulas insiden buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar yang tular baru-baru ini.

Susulan itu, Jawatankuasa Disiplin (JDM) MRSM memecat 10 pelajar yang terlibat dalam kejadian itu berkuatkuasa serta merta pada Selasa. 

Beliau berkata, tiada sesiapa pun harus memandang ringan pendidikan agama dan pengajian moral kerana buli adalah akibat daripada moral dan nilai yang rendah dalam kalangan pelajar, sambil menambah ibu bapa juga perlu bertanggungjawab dan tidak seharusnya menyerahkan tugas mengajar anak mereka tentang nilai moral kepada sekolah.

“Bagaimanapun, tidak wajar menuding jari kepada mana-mana pihak dalam isu buli kerana tanggungjawab mendidik pelajar perlu dipikul oleh semua iaitu ibu bapa, sekolah, masyarakat dan juga media,” katanya.

Beliau berkata warden asrama mesti dilantik dalam kalangan individu yang mempunyai nilai moral yang tinggi dan dilatih dalam bidang kaunseling supaya mereka boleh menjadi teladan dan membantu membimbing pelajar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan dan interaksi dengan orang lain.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  58  =  60