• Sunday, 20 June 2021, 11:48 am

Dicekup, tak sempat belanja upah bawa PATI

 Dicekup, tak sempat belanja upah bawa PATI

Dua PATI dan ‘transporter’ yang berjaya ditahan oleh Anggota Batalion 5, PGA Simpang Renggam di Jalan Kampung Sinar Harapan, Pekan Nanas, di Pontian, disini, semalam.

Oleh Nurman Nasyriq

PONTIAN, 28 Mei – Seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’ tidak sempat menikmati bayaran upah membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) apabila kegiatannya dipatahkan pihak berkuasa.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am ( PGA ), Superintenden Dimin Awang berkata, lelaki berusia 52 tahan ditahan jam 9 pagi di Jalan Kampung Sinaran Harapan, Pekan Nanas, di sini semalam.

Lelaki itu ditahan ketika membawa dua lelaki warganegara Indonesia berusia 30 dan 47 tahun di dalam kereta yang dipandunya.

“Hasil siasatan lanjut, kedua-dua lelaki Indonesia tersebut mengakui baru sahaja memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihaknya telah merampas sebuah kereta Proton Wira yang digunakan bagi menghantar kedua- dua PATI berharga RM9,500 serta matawang Indonesia sebanyak RP3 juta.

Kesemua barangan rampasan dan tangkapan suspek telah dihantar ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bagi tindakan selanjutnya.

“PGA akan terus meningkatkan Ops Benteng di perairan Pontian yang kini menjadi antara tumpuan PATI untuk memasuki negara ini sejak akhir-akhir ini.

“Terdapat lima tempat kawalan yang dipantau anggota Batalion 5 PGA Simpang Renggam di Pontian seperti di Tampok Laut, Ayer Baloi, Pontian Besar, Rambah dan Tanjung Piai beroperasi 24 jam ketika ini,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah  Seksyen 26(a) Akta Atipsom / Seksyen 6 (1) Akta Imigresen.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *