DesaMall@KPLB catat jualan RM1.94 juta sejak diperkenal

 DesaMall@KPLB catat jualan RM1.94 juta sejak diperkenal

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad –fotoBERNAMA

SHAH ALAM, 30 Mac — Nilai jualan berjumlah RM1.94 juta dicatatkan sepanjang pelaksanaan program DesaMall@KPLB sehingga 28 Feb, 2021 sejak ia diperkenal pada Oktober 2017 menerusi pasaran di beberapa platform e-dagang.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata setakat ini sebanyak 2,000 usahawan luar bandar telah dilatih di bawah program tersebut untuk memasarkan produk mereka menerusi platform e-dagang seperti PrestoMall, Lazada, Shopee dan eBay.

“Pencapaian DesaMall@KPLB dalam mematuhi tempoh tiga hari yang ditetapkan oleh platform e-dagang untuk pesanan diterima pembeli adalah 100 peratus di semua plaform yang disertai selain sentiasa mendapat ulasan yang baik daripada pembeli,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gudang DesaMall@KPLB di sini, pada Selasa.

Beliau berkata melalui program tersebut, usahawan luar bandar hanya perlu memberi perhatian kepada penghasilan produk bagi memenuhi pasaran serta penambahbaikan produk manakala urusan lain seperti menguruskan pesanan, penghantaran produk dan pembayaran diuruskan pentadbir program tersebut iaitu eLokal Sdn Bhd.

“Prestasi jualan usahawan dipantau menggunakan sistem aplikasi yang dibangunkan khusus untuk menjejaki jualan setiap produk serta menjana laporan berkaitan nilai jualan terkumpul, produk terlaris dan produk yang kurang mendapat sambutan,” katanya.

Dr Abdul Latiff berkata pemantauan berterusan ini membolehkan isu-isu yang dihadapi oleh usahawan dikenal pasti bagi tindakan penambahbaikan.

Dalam pada itu, beliau berkata Gudang DesaMall@KPLB akan dijadikan sebagai hab pengumpulan, penyimpanan dan pengedaran stok produk-produk usahawan luar bandar di bawah program tersebut.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

39  +    =  48