Depan bengkel, belakang jual LPG haram

 Depan bengkel, belakang jual LPG haram

Penguat kuasa KPDNHEP memeriksa LPG yang tidak mempunyai lesen dalam satu operasi khas sekitar Johor Bahru semalam

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 26 Feb: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor membongkar kegiatan menjual gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen yang berselindung di sebalik bengkel membaiki kenderaan dan menjual tayar.

Kegiatan di sebalik bengkel yang bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa akhirnya terdedah dalam serbuan KPDNHEP Johor di sebuah kedai di bandar ini kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Johor, Mohd Hanizam Kechek berkata, pihaknya melakukan risikan selama dua minggu sebelum melakukan serbuan dan jumlah rampasan bernilai RM66,228.

Operasi turut dilakukan terhadap premis runcit dan borong yang menjual LPG

“Premis yang dilihat sebagai bengkel membaiki kenderaan serta tayar disyaki cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan menjalankan aktiviti penjualan, pengedaran dan menjadikan tempat simpanan bagi tong LPG melalui pintu belakang premis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Menurutnya, bengkel tersebut merupakan satu daripada premis yang diperisa KPDNHEP di seluruh negeri pada hari yang sama.

“Operasi turut dilakukan terhadap premis runcit dan borong yang menjual LPG di seluruh daerah. Kita fokus penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 berkaitan pematuhan penjualan LPG mengikut harga kawalan.”

Beliau berkata, ini termasuk juga kebenaran menjual melalui lesen yang dikeluarkan KPDNHEP.

Berdasarkan rekod, katanya, sebanyak 210 premis diperiksa KPDNHEP Johor melibatkan peniaga runcit dan borong yang menjual LPG mulai 18 Januari lalu hingga semalam.

Susulan pemeriksaan yang dijalankan, terdapat 14 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dengan jumlah kompaun bernilai RM7,000.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

92  −  91  =