DBKL perlu tegas tangani lambakan peniaga warga asing

 DBKL perlu tegas tangani lambakan peniaga warga asing

Mahathir Mohd Rais

KUALA LUMPUR, 5 Sept — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bertindak tegas bagi mengelak lambakan peniaga warga asing di bandar raya ini.

Ketua BERSATU Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais menggesa campur tangan dan pemantauan daripada pihak Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa yang berkaitan juga perlu demi memastikan tiada warga asing lagi yang berniaga tanpa izin di sini.

Tegas beliau, ramai peniaga tempatan mengadu, ada peniaga warga asing  yang menyamar sebagai rakyat Malaysia dalam menjalankan perniagaan dibawah kempen Wilayah Bebas Berniaga.

“Mereka turut mendirikan struktur kekal ditapak perniagaan yang sepatutnya bersifat sementara.

“Inisiatif yang pada awalnya dilaksanakan bertujuan untuk meringankan beban warga Wilayah Persekutuan menggalakkan mereka terlibat dalam perniagaan kini terjejas akibat lambakan warga asing yang turut menjalankan perniagaan yang sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujarnya, ramai dalam kalangan peniaga warga asing itu turut didapati tidak mengamalkan penjagaan kebersihan dan penjarakan fizikal.

Beliau berkata, pihaknya berharap kerjasama diantara agensi penguatkuasa dapat diperkemaskan dan tindakan segera dapat diambil.

Kempen Wilayah Bebas Berniaga merupakan inisiatif yang diambil oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dibawah pentadbiran Tan Sri Annuar Musa.

Annuar ketika mengemudi KWP sebelum ini mengumumkan memberi kebenaran kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai.

Ia menimbulkan pelbagai reaksi beberapa pihak yang bimbang jika dasar baharu itu disalah guna dan memberi kesan kepada keselamatan awam.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

31  −    =  25