DBKK, JPKA urus bantuan mangsa kebakaran Lok Urai

 DBKK, JPKA urus bantuan mangsa kebakaran Lok Urai

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya (tengah) melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa kebakaran di Dewan Serbaguna Sembulan, Kota Kinabalu.

Oleh Azrone Sarabatin

KOTA KINABALU, 13 Mac – Bahan binaan rumah, makanan dan tempat tinggal sementara merupakan antara bantuan yang dihulurkan kerajaan kepada mangsa kebakaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya malam tadi.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang mengenal pasti status tanah rumah berkenaan dan bantuan bahan binaan akan diberikan kepada tanah yang sudah diwartakan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya.

“Laporan daripada DBKK itu dijangka akan diperoleh dalam tempoh seminggu. Sekiranya ia tidak diwartakan maka, bantuan bahan binaan tidak dapat diberikan.

“Kita juga menanti laporan DBKK bagi mendapatkan rekod keluarga yang terbabit sama ada mereka warga negara atau bukan warga negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Sembulan, hari ini.

Shahelmey berkata, kerajaan melalui melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) menyediakan khemah sebagai tempat tinggal sementara mangsa di PPS bagi tempoh tiga hingga tujuh hari.

“Kita juga menyediakan makanan bermasak dan selepas mereka sedia meninggalkan pusat pemindahan ini, akan dibekalkan dengan bantuan bakul makanan yang mencukupi sebagai bekalan untuk seminggu,” tambahnya.

Dalam kejadian kebakaran pada kira-kira 8.30 malam itu, sebanyak 73 rumah di atas air musnah sepenuhnya menyebabkan lebih 200 penduduk tinggal sehelai sepinggang manakala 757 kediaman lagi berjaya diselamatkan menerusi tindakan pantas pasukan bomba.

Wacana.my dimaklumkan, antara penduduk Kampung Lok Urai adalah suku Ubian dan Suluk. Kawasan yang sama juga pernah mengalami beberapa kali kejadian kebakaran sebelum ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

16  −  12  =