Daun simpul bungkus nasi dagang tarikan pelancong

 Daun simpul bungkus nasi dagang tarikan pelancong

Chik Long melayan pelanggan yang membeli nasi dagang yang dibungkus menggunakan daun simpul di lot gerai di Bandar Lama Rompin.(Gambar dirakam sebelum PKP). WMY/Mohd Fikri Mie

ROMPIN, 26 Jun – Menggunakan daun simpul untuk membungkus nasi dagang menjadikan juadah berkenaan diminati dikalangan masyarakat setempat termasuk pelancong asing yang berkunjung ke daerah ini.

Ini diakui peniaga sarapan pagi Chik Long, 68 yang mengakui ramai pelancong Singapura, Jepun, Thailand dan Brunei berkunjung ke premisnya setiap kali mereka datang ke daerah ini untuk aktiviti memancing di laut.

Menurutnya, setiap hari dia mampu menjual antara 300 hingga 400 bungkus sehari dan musim perayaan jumlahnya bertambah kepada 1,000 bungkus.Terdapat juga pihak yang menempah nasi dagang semata-mata ingin merasai keunikan makan dalam daun simpul.

Katanya, hampir setiap hari aktiviti mencari daun simpul dilakukan anaknya, sebelum ini daun berkenaan mudah di dapati namun kini ia semakin sukar untuk di cari disebabkan banyak kawasan tumbuhan berkenaan dibangunkan dengan pelbagai projek.

Chik Long menggunakan daun simpul untuk membungkus nasi dagang di lot gerai di Bandar Lama Rompin.

“Aktiviti mencari daun simpul kini terpaksa ke kawasan lebih jauh hingga jarak perjalanan puluh kilometer, tumpuan pencarian kini di sekitar Muadzam Shah dan Endau serta beberapa tempat lain di daerah ini.

“Walaupun sukar namun saya dan anak-anak tetap perlu berusaha mencari daun simpul dalam memastikan perniagaan yang diusahakan sejak lebih 40 tahun lalu dapat terus bertahan,” katanya kepada Wacana.my.

Dia yang menjalankan perniagaan di lot gerai di Bandar Lama Rompin, berkata pokok simpul banyak tumbuh di kawasan berpaya, daun yang lebar membolehkan ia digunakan untuk membungkus nasi dagang dan pelbagai produk lain.

Chik atau lebih terkenal dengan panggilan Kak Ten berkata, aroma nasi dagang dengan lauk ikan tongkol yang dibungkus dengan daun simpul cukup mengharumkan, sekali gus membangkitkan selera serta imej tradisional masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

“Orang ramai suka dengan aroma nasi dagang yang harum kerana dibungkus dengan daun simpul, lagi bertambah selera makan berbanding jika dihidangkan di pinggan biasa. Ia adalah tarikan utama orang ramai ke gerai kami.

Nasi dagang dibungkus dengan daun simpul membangkitkan selera pengguna.

“Walaupun terdapat pelbagai hidangan lain digerai saya namun pelanggan pelbagai bangsa lebih meminati nasi dagang yang dibungkus dengan daun simpul,” katanya yang menetap di Kampung Pantai Bernas, di sini.

Beliau menambah, menggunakan ikan tongkol segar dan santan kelapa yang diperah sendiri dapat menambahkan lagi keenakan nasi dagang, faktor berkenaan menjadi kelebihan tidak ada pada peniaga lain.

Katanya, dia berniaga bermula 6.30 pagi dan berakhir kira-kira tujuh jam kemudian, selain makan di gerai terdapat juga pelanggan yang membawa pulang.

“Dengan menggunakan daun simpul saya tidak perlu membasuh pinggan dan membeli bekas untuk membungkus, boleh menjimatkan perbelanjaan.Harga sebungkus nasi dagang cuma RM3.50,” katanya yang tidak pernah mendapat bantuan daripada agensi berkaitan.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  7