Datuk Seri diburu polis, disyaki terlibat pengubahan wang haram

 Datuk Seri diburu polis, disyaki terlibat pengubahan wang haram

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 22 Mac – Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee kini diburu polis kerana disyaki terlibat dalam sindiket berkaitan pengubahan wang haram serta jenayah komersial.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ahli perniagaan berusia 33 tahun ini ditemui kali terakhir di alamat Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor.

Beliau berkata, Pengasas Winner Dynasty Group itu dikehendaki untuk siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

“Semalam, polis Johor telah mengadakan operasi melakukan serbuan di Puchong dan menahan 12 individu termasuk seorang yang bergelar Datuk Seri.

“Sindiket ini besar dan banyak melibatkan penipuan dan scam. Suspek ialah seorang yang berpengaruh dan mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang kenamaan, termasuk pegawai daripada agensi penguatkuasaan.

“Mana-mana individu yang cuba melindungi suspek akan diambil tindakan tegas tanpa mengira sama ada orang awam atau agensi penguatkuasaan termasuk polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.

Ayob Khan percaya ahli perniagaan itu masih berada di Puchong dan pasukan polis akan menggiatkan usaha mengesan dan memburunya.

Dua kertas siasatan berkaitan individu itu telah dibuka di negeri ini di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Soon Hee pernah ditahan kerana mencederakan dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas di pekarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur empat tahun lalu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

83  +    =  85